Keuntungan Bersih Maybank Meningkat 17.5% Kepada RM9.35 Bilion Pada Tahun Kewangan 2023

maybank rm9.35 bilion

Keuntungan Bersih Maybank Meningkat 17.5% Kepada RM9.35 Bilion Pada Tahun Kewangan 2023

KUALA LUMPUR, 28 Feb (Bernama) — Malayan Banking Bhd (Maybank) mencatatkan keuntungan bersih tinggi sebanyak RM9.35 bilion, peningkatan 17.5 peratus, bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2023, berbanding RM7.96 bilion pada Tahun Kewangan 2022.

Hasil meningkat kepada RM64.47 bilion daripada RM49.42 bilion sebelumnya, kata Maybank dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Bagi suku keempat 2023 (4Q 2023), bank itu mencatatkan keuntungan bersih RM2.39 bilion daripada RM2.21 bilion pada suku yang sama pada 2022, manakala hasil meningkat kepada RM17.13 bilion daripada RM15.03 bilion.

Bagaimanapun, pendapatan faedah bersih dan pendapatan perbankan Islam kumpulan bagi Tahun Kewangan 2023 turun sebanyak RM860.7 juta atau 4.1 peratus kepada RM20.37 bilion berbanding Tahun Kewangan 2022.

Maybank juga berkata keputusan perkhidmatan insurans/takaful berkembang sebanyak RM338.4 juta atau 159.9 peratus kepada RM550.1 juta bagi Tahun Kewangan 2023 berbanding Tahun Kewangan 2022.

Pendapatan operasi lain kumpulan juga meningkat RM3.39 bilion atau 73.5 peratus kepada RM7.99 bilion pada Tahun Kewangan 2023, daripada RM4.60 bilion pada Tahun Kewangan 2022.

“Peningkatan itu disumbang terutamanya daripada kerugian penyelarasan nilai aset tidak direalisasikan bagi penilaian semula derivatif sebanyak RM2.40 billion, keuntungan pertukaran asing tinggi sebanyak RM1.17 bilion dan pendapatan pelaburan bersih sebanyak RM319.9 juta bagi Tahun Kewangan 2023 (antara lainnya),” katanya.

Bagaimanapun, bank tersebut berkata, kenaikan itu diimbangi oleh keuntungan penyelarasan nilai aset tidak direalisasi yang rendah bagi penilaian semula liabilti kewangan pada nilai adil menerusi keuntungan atau kerugian (FVTPL) sebanyak RM2.51 bilion dan kerugian direalisasi bagi derivatif sebanyak RM60.1 juta bagi Tahun Kewangan 2023 berbanding keuntungan direalisasi bagi derivatif sebanyak RM896.1 juta bagi Tahun Kewangan 2022.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Khairussaleh Ramli berkata keuntungan bersih yang tinggi itu disokong oleh pertumbuhan pendapatan daripada peningkatan pendapatan pasaran dan perbendaharaan serta fi teras dan peruntukan yang lebih rendah.

Beliau berkata Maybank mencatatkan pendapatan operasi bersih tinggi meningkat 3.3 peratus diterajui oleh pendapatan bukan faedah yang naik sebanyak 38.3 peratus hasil daripada keuntungan dalam pertukaran asing pendapatan pelaburan dan dagangan dan fi teras yang tinggi.

Bagaimanapun, katanya, bank itu mencatatkan pendapatan berasaskan dana bersih yang lebih rendah sebanyak 6.6 peratus apabila margin faedah bersih (NIM) mengecil sebanyak 27 mata asas disebabkan kos pendanaan lebih tinggi dan persaingan deposit yang berterusan.

“Kos juga meningkat sebanyak 11.8 peratus berikutan peningkatan kos kakitangan, perbelanjaan teknologi maklumat, susut nilai aset Hak Penggunaan dan fi berkaitan kad kredit disebabkan pengebilan yang lebih tinggi,” katanya pada taklimat media mengenai Keputusan Kewangan 2023 kumpulan, di sini, hari ini.

Mengenai pertumbuhan pinjaman bagi Tahun Kewangan 2023, Khairussaleh berkata pinjaman kasar kumpulan meningkat kukuh sebanyak 9.2 peratus mendapat rangsangan daripada peningkatan pasaran rumah di Malaysia, Singapura dan Indonesia masing-masing sebanyak 6.7 peratus, 8.7 peratus dan 6.2 peratus.

Manakala deposit kumpulan meningkat sembilan peratus susulan pertumbuhan keseluruhan di pasaran Singapura sebanyak 13.5 peratus, Indonesia 9.4 peratus dan Malaysia 4.9 peratus dengan deposit tetap juga naik 11.2 peratus terutamanya daripada pertumbuhan di Singapura dan Indonesia.

Mengulas mengenai keputusan kewangan tersebut, Pengerusi Maybank Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa Maybank terus kekal berdaya tahan dan mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai institusi kewangan utama di rantau ini dengan menguruskan perniagaannya secara berdisiplin dan bertanggungjawab.

“Kumpulan akan meneruskan penerapan prinsip-prinsip perbankan berasaskan nilai menerusi penyelesaian dan perkhidmatannya sebagai pembeza strategik untuk memacu nilai ekonomi yang sejajar dengan misi kami Menginsankan Perkhidmatan Kewangan.

“Pelancaran penyelesaian digital akan dipercepatkan sejajar dengan model perniagaan holistik dan mampan seperti yang dilihat dalam agenda ‘myimpact’ kami untuk menangani keperluan perniagaan dan gaya hidup menyeluruh pelanggan,” katanya.

Khairussaleh berkata melangkah ke 2024, dengan memanfaatkan prospek ekonomi yang lebih baik bank itu menyasar pertumbuhan pinjaman antara 6 hingga 7 peratus dari pasaran Malaysia, Singapura dan Indonesia serta merentas pelbagai sektor.

“Kami yakin pertumbuhan penggunaan di Malaysia akan kekal kukuh dengan aktiviti perniagaan yang meningkat. Kami menjangkakan Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia berkembang sebanyak 4.4 peratus tahun ini.

“Dengan pelaburan masuk dan sebaik sahaja dilaksanakan akan ada lebih banyak peluang pembiayaan di samping terdapat juga beberapa peluang pembiayaan infrastruktur.

“Di Indonesia, kami kekal optimis pada segmen perusahaan kecil dan sederhana (PKS), segmen syarikat korporat besar dan syarikat milik kerajaan mereka sendiri. Di Singapura kami akan memanfaatkan bahagian korporat dan juga PKS manakala bahagian sewa beli juga akan diteruskan,” katanya.

Selain itu, beliau turut menjangkakan Kadar Dasar Semalaman kekal pada 3.00 peratus tahun ini dan pengurangan NIM kira-kira lima mata asas.

Sumber: BERNAMA

The post Keuntungan Bersih Maybank Meningkat 17.5% Kepada RM9.35 Bilion Pada Tahun Kewangan 2023 appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*