Laluan baharu Bas Nadiputra terima rungutan penduduk

PUTRAJAYA: Perkhidmatan bas henti-henti Nadiputra yang akan beroperasi 1 Januari ini menerima reaksi pelbagai warga Putrajaya.

Ada segelintir menyifatkan laluan baharu itu berbeza daripada laluan asal dan turut dilihat menyukarkan penjawat awam untuk ke tempat kerja.

Rungutan itu mendapat reaksi Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr. Radzi Jidin yang turut berkongsi masalah dihadapi penjawat awam itu menerusi laman Facebook, hari ini.

Radzi berkata, beliau menerima banyak rungutan berhubung laluan baharu Bas Nadiputra itu, malah ada yang merungut terpaksa menaiki dua bas berlainan untuk ke tempat kerja.

Menurutnya, ada segelintir mendakwa laluan bas baharu itu tidak melalui Presint 14 dan 15 untuk ke tempat kerja di Presint 2,3 dan 4.

“Ada juga penjawat awam yang mahu laluan Putrajaya Sentral ke Putra Harmoni (Presint 9) – Presint 5 dikekalkan kerana itu sahaja pengangkutan awam yang mereka kerap gunakan setiap hari.

“Terima kasih atas cadangan dan pandangan sahabat semua dan saya akan berhubung dengan pihak Perbadanan Putrajaya (PPj) untuk membincangkan perkara ini,” katanya.

Sebelum ini, PPj memaklumkan semua perkhidmatan bas henti-henti Nadiputra akan diletakkan di bawah kendalian dan operasi Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) bermula 1 Januari 2023.

Sebanyak tujuh laluan diperkenalkan yang akan beroperasi bermula jam 6.30 pagi hingga 8 malam pada hari Isnin hingga Jumaat dan dari jam 7 pagi hingga 8 malam pada hari Sabtu, Ahad dan hari kelepasan am.

Kadar tambang sebanyak RM1 sehala untuk enam laluan manakala satu laluan iaitu laluan P101 (Kompleks F – Persiaran Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah – Persiaran Perdana – Presint 5) adalah percuma. – UTUSAN

The post Laluan baharu Bas Nadiputra terima rungutan penduduk appeared first on Utusan Malaysia.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*