Lapisan Ozon Dijangka Akan Pulih Menjelang Tahun 2040

Lapisan ozon dilapor akan pulih dalam tempoh beberapa dekad setelah bahan kimia yang menyebabkan penipisan lapisan ozon dihapuskan secara berperingkat di seluruh dunia.

Memetik laporan CNN, lapisan ozon berfungsi untuk melindungi kehidupan di Bumi daripada sinaran ultraungu (UV) yang berbahaya.

Namun, sejak akhir tahun 1980-an, saintis telah memberikan amaran mengenai lubang pada lapisan ozon yang berlaku disebabkan oleh bahan-bahan kimia termasuk klorofluorokarbon (CFC) yang sering ditemui di dalam peti sejuk, aerosol dan pelarut.

Pun begitu, penggunaan CFC telah menurun sebanyak 99 peratus sejak perjanjian Protokol Montreal dikuatkuasakan pada tahun 1989 dimana mereka telah memulakan langkah penghapusan bahan kimia tersebut secara berperingkat.

Menurut penilaian yang dilakukan oleh panel pakar, sekiranya dasar global kekal dilaksanakan, lapisan ozon dijangka akan pulih seperti tahun 1980 iaitu sebelum kemunculan lubang lapisan ozon menjelang tahun 2040 bagi seluruh dunia.

Bagi kawasan di kutub, pemulihan akan mengambil tempoh masa yang lebih panjang iaitu sekitar tahun 2045 di Artik dan 2066 di Antartika.

Dalam pada itu, Panel Penilaian Saintifik telah mengesahkan semula kesan positif yang diperolehi daripada perjanjian tersebut terhadap perubahan iklim.

“Tindakan ozon telah menetapkan contoh untuk perubahan iklim. Kejayaan kami dalam menghapuskan bahan kimia yang menipiskan lapisan ozon secara berperingkat telah menunjukkan kepada kami perkara yang boleh dan mesti dilakukan.

“Ia penting untuk beralih daripada bahan api fosil, mengurangkan gas rumah hijau dan seterusnya mengehadkan peningkatan suhu,” jelas Setiausaha Agung Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO), Petteri Taalas.

Menurut kajian tahun 2021 dalam jurnal Nature, gas penipisan ozon juga merupakan gas rumah hijau yang kuat dan tanpa sebarang larangan dunia, pemanasan tambahan boleh berlaku sehingga 1 darjah Celsius.

Sejak revolusi perindustrian, Bumi telah panas sekitar 1.2 darjah Celsius. Malah, saintis telah memberi amaran bahawa ia harus dihadkan kepada 1.5 darjah Celsius untuk mengelakkan krisis iklim yang terburuk berlaku.

Saintis telah melaporkan bahawa pemanasan melebihi 1.5 darjah Celsius secara mendadak akan meningkatkan risiko kemarau yang melampau, kebakaran hutan, banjir dan kekurangan makanan.

Sementara itu, penilaian terkini dibuat berdasarkan kajian secara menyeluruh, penyelidikan dan data yang disusun oleh sekumpulan besar pakar antarabangsa termasuk daripada Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO), Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP), Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA), Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA) dan Suruhanjaya Eropah.

Sumber: CNN, WMO

The post Lapisan Ozon Dijangka Akan Pulih Menjelang Tahun 2040 appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*