Libatkan semua peringkat UMNO ‘bedah siasat’ besar-besaran

PUTRAJAYA: Semua peringkat kepimpinan dan ahli perlu bertanggungjawab dan dilibatkan dalam ‘bedah siasat’ besar-besaran melalui pemilihan parti UMNO yang sudah diputuskan kepimpinan tertinggi.

Ketua UMNO Bahagian Segambut, Datuk Mahathir Sulaiman menegaskan, pemilihan parti di semua peringkat jawatan terutama jawatan tertinggi UMNO perlu dipertandingkan pada tahun ini, sebagaimana turut diputuskan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) Khas sebelum ini.

Beliau berkata, jika terdapat ura-ura bahawa akan ada satu usul bakal dikemukakan supaya dua jawatan tertinggi parti tidak dilakukan pada PAU minggu depan, maka sebagai ahli, ia secara jelas satu tindakan tidak menghormati keputusan PAU Khas tersebut.

“Saya menghormati institusi Presiden dan saya mahu institusi ini diperkasakan setelah kekalahan teruk UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam sejarah PRU negara pada PRU-15 lalu.

“Biarlah sokongan terhadap Presiden dan parti kita kini diabsahkan melalui pemilihan parti yang sihat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, keputusan besar sebegini perlu dibuat secara kolektif oleh kesemua ahli parti termasuk di peringkat akar umbi dan bukan hanya segelintir perwakilan yang hadir melalui sorakan mahu pun tepukan yang menggemakan dalam Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada minggu depan.

Jelasnya, janganlah semua leka, terbuai dan bertindak seolah-olah parti ini tidak mempunyai sebarang masalah dengan mengambil keputusan untuk tidak melakukan pemilihan parti.

Ia hanya, katanya, kerana segelintir pemimpin tertinggi parti berada dalam barisan Kabinet kerajaan pada masa kini.

“Pemilihan parti ini lebih kepada urusan parti dan bukannya atau tiada kena mengena dengan kerajaan hari ini.

“Semangat kita semua ahli parti sehingga ke peringkat akar umbi perlu didengar serta dihormati!” katanya. – UTUSAN

 

The post Libatkan semua peringkat UMNO ‘bedah siasat’ besar-besaran appeared first on Utusan Malaysia.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*