Mahkamah: “Nama saya, UMNO, JB sudah dibersihkan” – Shahrir

KUALA LUMPUR – “Hari ini nama UMNO, nama saya, nama JB (Johor Bahru) sudah dibersihkan bukan atas permintaan kita, tapi atas permintaan pihak pendakwaan (untuk tidak meneruskan kes ini).

“Secara peribadi saya sedih kes ini… (dipertuduhkan) memang dari awal saya fikirkan pertuduhan itu tidak munasabah, pertuduhan agak longgar,” katanya.

Itu kata bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Ab. Samad ketika ditemui sejurus dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Menurut Shahrir dalam kes ini, secara peribadi merasa sedih apabila pertuduhan dikenakan terhadapnya adalah tidak munasabah dan tidak kukuh.

“Kita ‘menghidangkan’ kepada rakyat dan masyarakat bahawa orang yang buat kerja secara ikhlas. Saya sudah maklumkan kepada SPRM kenapa ambil wang itu dan kenapa minta tolong daripada Najib. Ia untuk membantu orang miskin dan susah, selain membuat rumah. Semua perkara itu sudah diberitahu.

“Jadi saya sedih, (pertuduhan) memberi gambaran kepada masyarakat dan negara bahawa saya sebagai Ahli Parlimen, orang dan pemimpin UMNO bahawa kami merasuah dan tiada nilai integriti, selain dilakukan oleh mereka yang ada kuasa,” katanya.

Pada prosiding 23 Disember lalu mahkamah dimaklumkan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas bertegas mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mendakwa Shahrir atas pertuduhan pengubahan wang haram meskipun kertas siasatan masih belum lengkap.

Pegawai Penyiasat SPRM, Penolong Penguasa Nurzahidah Yacop, 35, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, beliau menerima kertas siasatan daripada pihak pendakwaan bahawa Tommy telah mengeluarkan izin pada 15 Januari 2020 untuk mendakwa bekas Pengerusi Felda itu.

Sehubungan itu, bekas Ahli Parlimen Johor Bahru kemudian dihadapkan ke Mahkamah Sesyen pada 21 Januari 2020 atas dakwaan gagal mengisytiharkan kepada LHDN wang RM1 juta yang diterima daripada Najib.

Nurzahidah menyatakan demikian ketika disoal balas oleh peguam Datuk Syed Faisal Al-Edros Syed Abdullah Al-Edros yang mewakili Shahrir pada perbicaraan tersebut.

Dalam keterangannya, saksi pendakwaan ke-22 itu mengaku mengetahui siasatan masih belum lengkap namun beliau menerima arahan daripada timbalan pendakwa raya untuk menuduh Shahrir selepas izin mendakwa dikeluarkan oleh Tommy.

Shahrir, 73, didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967, iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek yang kemudian dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di LHDN Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 25 April 2014 mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE

The post Mahkamah: “Nama saya, UMNO, JB sudah dibersihkan” – Shahrir appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*