Menakjubkan, James Webb NASA Kongsi Gambar Pembentukan Bintang Baharu

james webb bintang baharu

Menakjubkan, James Webb NASA Kongsi Gambar Pembentukan Bintang Baharu

AMERIKA SYARIKAT — Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) memaklumkan bahawa Teleskop Angkasa, James Webb berkongsikan imej terbaharu bintang yang didedahkan semalam.

Memetik NASA, pendedahan tersebut bersempena dengan sambutan ulang tahun pertama Webb sejak ia beroperasi pada tahun lalu. Berikutan itu, Webb telah mengeluarkan satu imej kawasan pembentukan bintang kecil di kompleks awan, Rho Ophiuchi.

Pentadbir Bersekutu Misi Sains NASA Direktorat di Washington, Nicola Fox, berkata, imej baharu yang diterbitkan itu menampilkan kawasan pembentuk bintang yang terdekat.

Jaraknya hanya pada 390 tahun cahaya membolehkan imej diambil secara terperinci dari jarak dekat.

“Pada ulang tahun pertamanya, Teleskop Angkasa James Webb telah menghadiahkan manusia dengan khazanah imej dan sains yang menakjubkan yang tidak pernah diterokai selama beberapa dekad.

“Kehebatan kejuruteraan yang dibina oleh saintis dan jurutera terkemuka dunia dalam mencipta Webb memberi kita pemahaman yang lebih terperinci tentang galaksi, bintang dan atmosfera planet di luar sistem suria kita berbanding sebelum ini.

“Perkara ini sekaligus membuka lembaran baharu NASA dalam menerajui era baharu penemuan saintifik dan pencarian dunia yang boleh dihuni,” maklumnya.

Webb Dedah Gambar Rho Ophiuchi

Berdasarkan imej yang diambil menunjukkan kira-kira 50 bintang muda yang terdapat di kawasan tersebut. Kesemuanya mempunyai jisim seperti matahari atau lebih kecil. Kawasan yang paling gelap adalah kawasan yang paling padat kerana kepompong debu tebal masih membentuk protostar.

BACA JUGA: Angkasawan NASA Dedah Pemandangan Aurora Dari ISS

Pergerakan hidrogen molekul berwarna mendominasi sebahagian besar imej itu. Ia muncul secara mendatar merentasi sepertiga atas dan menegak di sebelah kanan. Perkara ini berlaku apabila bintang-bintang mula pecah menerusi kelahiran debu kosmik.

webb gambar Rho Ophiuchi
Gambar: NASA, ESA, CSA, STScI, Klaus Pontoppidan (STScI)

Dalam pada itu, bintang S1 yang membentuk seperti gua debu bercahaya di bawah gambar.Ia merupakan satu-satunya bintang yang jauh lebih besar daripada matahari.

Sementara itu, Pentadbir NASA, Bill Nelson berkata, sejak kewujudan teleskop James Webb, ia telah membawa banyak perubahan dan pandangan manusia terhadap alam semesta.

“Hanya dalam satu tahun, Teleskop Angkasa James Webb telah mengubah pandangan manusia terhadap kosmos. Menerokai hingga ke awan debu dan melihat cahaya dari sudut jauh alam semesta buat kali pertama.

“Setiap imej baharu yang diambil merupakan penemuan baharu. Ia dapat memperkasakan pengetahuan saintis di seluruh dunia mengenai persoalan yang tidak pernah mereka bayangkan sebelum ini.

“Webb merupakan pelaburan dalam inovasi Amerika Syarikat namun pencapaian saintifiknya juga dibantu dan dikongsi bersama rakan antarabangsa NASA. Ribuan jurutera dan saintis serta pemimpin berkorban dalam misi ini sepenuhnya.

“Usaha mereka ini akan terus meningkatkan pemahaman kita tentang asal-usul alam semesta,” katanya.

Menurut Saintis Projek Webb di Institut Sains Teleskop Angkasa di Baltimore, Maryland, Klaus Pontoppidan, imej yang diambil dapat memberikan gambaran mengenai kitaran hayat bintang.

“Imej Webb tentang Rho Ophiuchi membolehkan kita menyaksikan tempoh yang sangat singkat dalam kitaran hayat menakjubkan dengan terperinci yang terbaharu. Matahari kita sendiri mengalami fasa seperti ini, lama dahulu.

“Dan kini kita mempunyai teknologi untuk melihat permulaan kisah bintang yang lain,” ujarnya.

Teleskop Angkasa James Webb

Teleskop Angkasa James Webb ialah balai cerap sains angkasa terkemuka di dunia. Webb kini sedang menyelesaikan misteri dalam sistem suria kita. Teleskop ini dapat melihat dan melangkaui dunia jauh di sekeliling bintang lain, dan menyelidik struktur misteri.

Webb juga mampu menyelidik asal-usul alam semesta. Webb ialah program antarabangsa yang diketuai oleh NASA dengan rakan kongsinya, ESA (Agensi Angkasa Eropah) dan Agensi Angkasa Kanada.

Sumber: NASA 

The post Menakjubkan, James Webb NASA Kongsi Gambar Pembentukan Bintang Baharu appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*