Muhammad Azeem Kandas Awal Di Budapest

azeem kandas budapest

Muhammad Azeem Kandas Awal Di Budapest

KUALA LUMPUR, 20 Ogos (Bernama) — Jaguh pecut negara Muhammad Azeem Mohd Fahmi tidak berjaya layak ke pusingan separuh akhir acara 100 meter (m) pada Kejohanan Olahraga Dunia 2023 di Budapest, Hungary, awal pagi ini waktu Malaysia.

Pada saingan pusingan pertama di Pusat Olahraga Nasional itu, Muhammad Azeem yang berlari dalam saringan empat, menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh daripada keseluruhan lapan peserta dengan catatan masa 10.26 saat (s).

Pemenang pingat emas Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun (B-20) 2022, Letsile Tebogo dari Botswana menduduki tempat pertama selepas merakam 10.11s diikuti atlet Australia Rohan Browning kedua yang berkongsi masa yang sama, namun pemenang ditentukan menerusi photo finish.

Tempat ketiga menjadi milik wakil Great Britain Reece Prescod dengan masa 10.14s sekali gus mengiringi Tebogo dan Browning mengesahkan tempat di pentas separuh akhir.

Terdahulu pada pusingan kelayakan, Muhammad Azeem mencatat 10.24s dalam saringan dua ketika melayakkan diri ke pusingan pertama.

BACA JUGA: Azeem Raih Emas Acara 100 Meter Di Florida

Muhammad Azeem yang membuat penampilan pertamanya pada Kejohanan Dunia tahun ini merupakan pemegang rekod kebangsaan 100m dengan catatan 10.09s yang dicipta pada Kejohanan Olahraga Dunia B-20 di Cali, Colombia, Ogos tahun lepas.

Catatan terbaik atlet kelahiran Perak berusia 19 tahun itu musim ini ialah 10.11s yang dilakukan di Amerika Syarikat, Mei lepas.

Beliau dijangka beraksi pada Sukan Asia Hangzhou 2022 bulan depan selepas tidak bersama skuad olahraga negara pada Sukan SEA 2023 di Kemboja, Mei lepas, dalam usahanya memburu tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Sumber: BERNAMA

The post Muhammad Azeem Kandas Awal Di Budapest appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*