Paip Di Dasar Sungai Perai Bocor Lagi, 200,000 Pengguna Alami Gangguan Air

paip sungai perai bocor

Paip Di Dasar Sungai Perai Bocor Lagi, 200,000 Pengguna Alami Gangguan Air

GEORGE TOWN, 23 Jan (Bernama) — Satu lagi kejadian paip bocor dikesan berlaku di dasar Sungai Perai, Butterworth dekat sini dipercayai lebih teruk berbanding Disember tahun lepas.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) telah mengarahkan pasukan penyelam untuk melihat kebocoran itu dan kerja membaiki paip berkenaa dilakukan segera.

“Kita terima makluman satu kebocoran (baharu) berlaku di Sungai Perai, cuma kita belum tahu sama ada kebocoran itu melibatkan tempat sama dibaiki dan ditutup sebelum ini. Kali ini nampaknya (kerosakan) lebih serius berbanding Disember lepas.

“PBAPP telah minta penyelam untuk melihat kerosakan sebenar dan sekiranya boleh baiki kita akan  baikinya segera dan kebocoran baharu itu telah menyebabkan kawasan daerah Barat Daya dan selatan Bukit Dumbar terkesan serta mengalami gangguan bekalan air,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Chow, tangki-tangki air telah digerakkan ke kawasan terkesan sementara menunggu kerja-kerja pembaikan kebocoran dijalankan selepas kerosakan dikenal pasti.

Sementara itu, PBAPP dalam kenyataan memaklumkan pihaknya telah mengesan kebocoran besar secara mendadak pada bahagian saluran paip 1,350 milimeter (mm) petang ini, yang menyebabkan berlaku gangguan bekalan air kepada kira-kira 200,000 pengguna di negeri ini.

BACA: Paip Utama Salur Gas Rusia Ke Eropah Bocor, Amerika Sedia Hulur Bantuan Kepada EU

PBAPP memaklumkan pihaknya sedang berusaha untuk mengepam air melalui saluran paip pada aliran minimum.

”Langkah ini mungkin membawa kepada gangguan bekalan air kepada kira-kira 200,000 pengguna di daerah Barat Daya dan beberapa kawasan di Seberang Perai,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan kejadian tersebut adalah mendadak dan bukan gangguan bekalan air berjadual yang dilakukan oleh PBAPP.

”PBAPP telah mengaktifkan pelan respons kecemasannya. Kami akan menyiarkan kemas kini sewajarnya,” menurut kenyataan itu.

Beberapa kawasan di daerah Barat Daya seperti di kawasan Sungai Ara, Bayan Lepas, Bukit Gedung dan sebagainya telah mengalami gangguan bekalan bermula 5 petang.

Kejadian paip bocor di dasar Sungai Perai hari ini merupakan kali ketiga berlaku selepas dua kejadian paip bocor dilaporkan pada Disember tahun lepas dan 12 Jan.

Berikutan beberapa kejadian paip bocor, kerajaan negeri Pulau Pinang melaksanakan kaedah pemasangan paip gantian sementara merentasi Sungai Perai, dan kerja pemasangan paip sementara itu dijangka siap pada 2 Feb, dan berfungsi sekurang-kurangnya lapan bulan sementara menunggu projek baharu pengantian paip kekal di dasar Sungai Perai siap.

Sumber: BERNAMA

The post Paip Di Dasar Sungai Perai Bocor Lagi, 200,000 Pengguna Alami Gangguan Air appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*