Pegawai APMM Terengganu Cedera Ditetak Nelayan Vietnam

Pegawai apmm ditetak vietnam

Pegawai APMM Terengganu Cedera Ditetak Nelayan Vietnam

KUALA TERENGGANU, 5 Julai (Bernama) — Seorang pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu cedera parah di kepala selepas ditetak dengan parang oleh nelayan Vietnam, kira-kira 11.30 pagi tadi.

Kejadian itu berlaku ketika mangsa, Leftenan Muda Maritim Shakir Zufayri Azizul, 27, sedang menjalankan operasi di perairan bersama 18 lagi pegawai serta anggota APMM di lokasi 148 batu nautika dari Kuala Terengganu.

Pengarah APMM Terengganu, Kepten Maritim Khairulanuar Abd Majid berkata kejadian berpunca apabila pihaknya menahan sebuah bot nelayan Vietnam yang dinaiki seorang tekong dan 15 awak-awak pagi tadi kerana menceroboh perairan negeri.

Beliau berkata ketika menjalankan pemeriksaan, nelayan berkenaan telah bertindak agresif dengan menyerang dan mencederakan mangsa serta anggota APMM yang lain.

BACA JUGA: APMM Jumpa 100 Butir Peluru Meriam Aktif Dalam Kapal Pengangkut Dari China

“Kesemua kru bot telah mengambil tindakan nekad dengan menyerang pegawai serta anggota APMM Terengganu yang berada dalam bot mereka.

“Turut cedera dalam kejadian itu ialah tekong dan dua lagi awak-awak nelayan Vietnam. Kedua-duanya cedera di bahagian lengan kiri dan kedua-dua belah paha akibat terkena tembakan,” katanya.

Khairulanuar berkata mangsa termasuk nelayan Vietnam yang cedera kemudiannya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dengan menaiki helikopter bagi mendapatkan rawatan segera.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati bot berkenaan tidak memiliki permit, lesen yang sah serta dokumen pengenalan diri.

“Kesemua nelayan asing telah ditangkap di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Malaysia tanpa pas yang sah,” katanya.

Sumber: BERNAMA

The post Pegawai APMM Terengganu Cedera Ditetak Nelayan Vietnam appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*