Pelarasan Tarif Air Beri Kualiti Perkhidmatan Terbaik – Pakar Air

pelarasan tarif air

Pelarasan Tarif Air Beri Kualiti Perkhidmatan Terbaik – Pakar Air

KUALA LUMPUR, 17 Jan (Bernama) — Pelarasan tarif air bagi kategori domestik bermula 1 Feb ini perlu dilakukan bagi memastikan kelestarian perkhidmatan air dalam jangka masa panjang, sekali gus memberi limpahan kesenangan kepada rakyat berhubung kualiti perkhidmatan bekalan air terawat.

Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) S. Piarapakaran berkata melalui pengumuman pelarasan tarif air baharu bagi pengguna domestik di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) hari ini, operator air akan lebih bersedia untuk membuat pelaburan berterusan bagi membangunkan infrastruktur sistem bekalan air seperti membina atau menaik taraf loji rawatan air dan membuat penggantian paip usang.

“Ini bukan soal pelarasan tarif air ini dilakukan bagi memberi peluang kepada syarikat pengendali mengaut keuntungan berlipat ganda, tetapi ia dilaksanakan kerana kebanyakan tarif air adalah ditetapkan mengikut operator air negeri, ada daripadanya sudah lama tidak disemak semula.

“Justeru, pelarasan tarif air ini mencerminkan kos bekalan air sangat penting bagi membolehkan operator air meningkatkan tahap perkhidmatan dalam membekalkan air berkualiti secara berterusan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Pelarasan tarif air menyaksikan kenaikan purata sebanyak 22 sen bagi setiap meter padu, dilaksanakan di bawah Mekanisme Penetapan Tarif (TSM), iaitu struktur dan komponen tarif air diseragamkan untuk negeri-negeri di Semenanjung dan Labuan serta ia akan dikaji semula setiap tiga tahun bagi memastikan keselarasan dalam penentuan bayaran.

Pelarasan itu membabitkan kira-kira 6.9 juta pengguna kategori domestik atau mewakili 86.6 peratus, daripada 7.9 juta pemegang akaun.

Piarapakaran berkata keperluan bagi semakan semula tarif air sangat mendesak kerana hampir semua syarikat yang menguruskan bekalan air di negara ini beroperasi dalam keadaan tidak menguntungkan di samping perlu membayar bil elektrik selain membeli bahan kimia bagi menghasilkan air terawat dengan kesemuanya memerlukan dana untuk dijayakan.

Ini berikutan tarif air yang dianggap terlalu murah di sesetengah negeri menyebabkan ada syarikat pengendali air tidak berupaya mempertingkatkan infrastruktur asas termasuk penggantian kebocoran paip usang mahupun pembinaan loji rawatan air baharu, justeru ia memerlukan kesediaan daripada pihak pengguna dalam memastikan perkhidmatan terbaik dapat dicapai.

“Jika kadar tarif air tidak disemak semula atau dinaikkan pada kadar munasabah, bagaimana operator air hendak bertahan menanggung kos semakin meningkat bagi menghasilkan air terawat mengikut piawaian ditetapkan?” katanya.

Dalam hal ini, beliau turut menyarankan pengguna perlu bersama-sama bertanggungjawab untuk memastikan syarikat operator berdaya tahan bagi membekalkan air terawat secara lestari dengan bersedia membayar tarif baharu yang munasabah untuk kesejahteraan bersama.

BACA: Nak Pergi Haji Tapi Guna Duit Pinjaman? Ini Jawapan Dari Sudut Hukum

Ditanya kewajaran semakan tarif air setiap tiga tahun, Piarapakaran berkata penetapan semakan itu adalah secara pengawalseliaan bagi memaksa operator air lebih cekap tahap perkhidmatan membekalkan air berkualiti secara berterusan di samping melindungi pengguna supaya operator air terbabit tidak terus mengambil keuntungan hasil daripada kecekapan penjimatan yang telah dicapai.

“Lihat kepada pembangunan tarif ini apabila kita buat penandaarasan, syarikat air akan mula menjadi lebih cekap dan ada penjimatan lebih besar. Jadi untuk permulaan kita hendak pastikan mereka tidak mengaut keuntungan terlalu lama.

“Jadi penetapan had tiga tahun ini kita akan periksa semula supaya mereka tak ambil tinggi sangat keuntungan itu dan selepas beberapa kitaran penetapan tarif, kita akan beralih kepada pelarasan tarif lima tahun iaitu kita akan lihat margin-margin untuk penjimatan ini sudah semakin rendah dan mendatar,” katanya.

Tarif baharu air itu dijangka membabitkan caj bil naik dalam julat antara RM1.60 hingga RM8 bagi setiap kediaman atau lima hingga 27 sen sehari bagi penggunaan isi rumah sebanyak 20 meter padu sebulan.

Sementara itu, Presiden Persatuan Air Malaysia (MWA) Dr Mohmad Asari Daud dalam kenyataan hari ini turut menyokong keputusan terkini SPAN dan menekankan kepentingan kajian semula tarif secara berkala merujuk kepada peningkatan kos rawatan air dan pengedaran.

Beliau berkata peningkatan kos ini disokong oleh data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia, dan mendapati beberapa penyedia perkhidmatan seperti Pengurusan Air Pahang tidak menyemak semula tarif air domestik selama 40 tahun.

“MWA yakin penilaian semula tarif air domestik akan memberi dorongan kepada pembekal perkhidmatan air untuk meningkatkan perkhidmatan pelanggan mereka. Dengan perubahan ini, MWA menjangkakan peningkatan dalm sistem bekalan air dan ekosistem air, yang menghadapi cabaran besar pada sesuatu masa,”katanya.

Sumber: BERNAMA

The post Pelarasan Tarif Air Beri Kualiti Perkhidmatan Terbaik – Pakar Air appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*