Pembinaan Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-JB Capai Kemajuan 92 Peratus

Projek landasan gemas-jb

Pembinaan Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-JB Capai Kemajuan 92 Peratus

KLUANG, 7 Sept (Bernama) — Pembinaan Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru (PLBEGJB) sudah mencapai kemajuan sebanyak 92 peratus setakat ini, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata PLBEGJB yang terdiri daripada 11 stesen itu dijangka siap menjelang 2025.

“Keseluruhan projek ini memang memerlukan tempoh masa yang lama dan banyak kali dilanjutkan untuk disiapkan terutamanya disebabkan COVID-19 jadi terlewat tetapi kini ia berjalan lancar. Apabila siap barulah kami buat percubaan sebelum beroperasi sepenuhnya.

“Kami harap projek ini dapat disiapkan dalam kadar segera supaya landasan ini dapat menghubungkan antara Johor Bahru sampai ke Kuala Lumpur hingga ke Padang Besar,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Strategik bagi pembinaan Kluang Heritage Railway Linear Park di Dewan Tunku Ibrahim Ismail di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri Mohamad Fazli Mohamad Salleh.

Projek landasan berkembar sepanjang 192 kilometer itu, akan melalui 11 stesen dengan tren berkuasa 25,000 voltan bergerak selaju 140 kilometer sejam dengan anggaran masa perjalanan dari KL Sentral ke JB Sentral adalah 3 jam 30 minit.

MoU antara Perbadanan Aset Keretapi (RAC), Majlis Perbandaran Kluang (MPK), SIPP-YTL JV dan Think City Sdn Bhd adalah bagi pembangunan Kluang Heritage Railway Linear Park meliputi taman rekreasi yang akan dibina di bawah jejambat kereta api di sini sepanjang hampir tiga kilometer.

BACA JUGA: India Bina Jambatan Kereta Api Tertinggi Di Dunia, Lagi Tinggi Dari Menara Eiffel

Loke berkata menerusi perjanjian itu, RAC akan bertindak selaku pemilik tanah kereta api, MPK sebagai pihak berkuasa tempatan,  SIPP-YTL JV pula adalah kontraktor landasan berkembar, manakala Think City akan menjalankan program berkaitan tanggungjawab sosial korporat masing-masing.

“Projek ini akan menggunakan tanah sedia ada yang berada di bawah jejambat kereta api. Apabila konsep ini diilhamkan dan dibentangkan kita rasa memang berbaloi untuk kita mempertimbangkannya kerana tanah (kosong) itu memang tak boleh dibiarkan kerana memerlukan penyelenggaraan apabila ada semak samun.

“Ia akan bagi impak yang sangat positif kepada penduduk tempatan dan menaikkan imej Kluang sebagai bandar unik bukan sahaja ada kereta api tetapi ada taman rekreasi dan ia juga akan jadi produk pelancongan sekali gus menjana peluang perniagaan,” katanya.

Menurut beliau pembinaan taman rekreasi itu telah diwartakan dalam Rancangan Tempatan MPK 2030 yang berhasrat untuk mengubah landskap persekitaran kawasan tersebut sekali gus mewujudkan jaringan hijau dan menyokong pembangunan rendah karbon.

“Dalam masa terdekat, saya akan menghadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar untuk mendapat perkenan Tuanku terlebih dahulu supaya projek ini (apabila siap akan) dinamakan ikut nama Tuanku kerana Tuanku seorang yang berminat dengan kereta api malah baginda juga boleh memandu kereta api,” tambahnya.

Sumber: BERNAMA

The post Pembinaan Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-JB Capai Kemajuan 92 Peratus appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*