Pendatang Tanpa Izin Buat Penempatan Haram Nekad Terjun Cerun Elak Ditahan

pendatang tanpa izin haram

Pendatang Tanpa Izin Buat Penempatan Haram Nekad Terjun Cerun Elak Ditahan

PUTRAJAYA, 19 Sept (Bernama) — Sekumpulan pendatang tanpa izin warga Indonesia yang membuat penempatan haram di kawasan hutan Puncak Alam, Selangor nekad melompat ke cerun curam dalam cubaan meloloskan diri daripada serbuan Operasi Penguatkuasaan Imigresen Bersepadu, Sabtu lepas.

Ada antara mereka juga cuba melarikan diri melalui lorong-lorong di hutan berkenaan namun gagal setelah kawasan tersebut dikepung oleh pasukan serbuan terlebih dahulu dalam operasi pada kira-kira 2 pagi itu.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh berkata seramai 95 individu telah diperiksa dan 39 daripada mereka termasuk seorang kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan, ditahan atas pelbagai kesalahan.

“56 lagi tidak ditahan kerana mempunyai slip pendaftaran program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0 dan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang masih sah laku,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata serbuan dilakukan 110 orang pegawai imigresen daripada Ibu Pejabat Jabatan Imigresen, Putrajaya yang turut dibantu 13 pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta lima anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Ruslin berkata pasukan operasi berdepan cabaran terpaksa berjalan kaki di dalam gelap hampir 15 minit untuk sampai ke penempatan haram tersebut melalui jalan hutan.

BACA: Jadikan Apartmen Sebagai “Perkampungan”, JIM Tahan 425 Pendatang Tanpa Izin

“Mencabar kerana penempatan haram ini berada jauh dari laluan utama dan dikelilingi cerun yang curam, selain terdapat banyak lorong-lorong yang tersembunyi yang memudahkan pendatang asing berkenaan meloloskan diri,” katanya.

Ruslin berkata maklumat dan laporan penempatan haram berkenaan akan diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata antara kesalahan mereka yang ditahan ialah tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan tinggal lebih masa, selain melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Kesemua tahanan, yang berumur antara dua dan 59 tahun, kini ditempatkan di Depot Imigresen Semenyih, Selangor

Sumber: BERNAMA

The post Pendatang Tanpa Izin Buat Penempatan Haram Nekad Terjun Cerun Elak Ditahan appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*