‘Saya tidak setuju, sekarang bukan masa bermain politik’ – Shahelmey

KOTA KINABALU – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, Datuk Ir Shahelmey Yahya menegaskan beliau tidak menyokong keputusan UMNO Sabah menarik sokongan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Shahelmey berkata, pemerhatiannya mendapati rakyat Sabah ketika ini tidak mahukan perubahan kerajaan.

“Saya tidak setuju malahan saya sudah membuat siasatan bahawa rakyat juga tidak inginkan perubahan kerajaan dalam masa sekarang.

“Sekarang bukan masa untuk bermain politik.

“Kini masa bekerja bagi membangunkan ekonomi dan memajukan Sabah,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Program SMART Jawab SPM 2022 hari ini.

Shahelmey berkata demikian ketika mengulas tentang tindakannya tidak menyertai gerakan diketuai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang membawa parti itu keluar daripada kerjasama membentuk kerajaan negeri.

Malahan Shahelmey yang juga Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah turut tidak menghadiri mesyuarat UMNO negeri sebelum sidang media di Bangunan UMNO Sabah malam tadi.

Dalam pada itu, Shahelmey menyatakan prestasi kerajaan Barisan Nasional – Gabungan Rakyat Sahah (BN-GRS) adalah agak baik dalam dua tahun kebelakangan ini.

“Dua tahun berturut-turut kerajaan negeri mempunyai peningkatan pendapatan daripada bawah RM5 bilion sehinggalah RM6.6 bilion pada tahun lepas.

“Kerajaan BN-GRS juga berjaya menarik pelabur dengan jumlah pelaburan melebihi RM33 bilion.

“Jadi kenapa kita hendak melakukan pertukaran kerajaan tanpa sebab yang konkrit hingga mengakibatkan satu persepsi bahawa politik negeri tidak stabil.

“Ini akan menghindar pelabur atau mengurangkan keyakinan pelabur untuk datang melabur di negeri ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post ‘Saya tidak setuju, sekarang bukan masa bermain politik’ – Shahelmey appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*