Sejarah Jambatan Besi Di Melaka Tercatat Dalam Naskhah Kartografi Lama

sejarah jambatan besi

Sejarah Jambatan Besi Di Melaka Tercatat Dalam Naskhah Kartografi Lama

Malaysia mempunyai banyak tempat yang boleh dilawati dan dikunjungi oleh orang ramai. Selain bangunan, negara ini juga mempunyai banyak laluan jambatan besi kereta api lama. 

Sejarah perkhidmatan kereta api dimulakan oleh Kerajaan Kolonial British untuk mengangkut hasil biji timah. Selepas era sistem pengangkutan moden bermula, beberapa laluan lama tidak beroperasi seperti dahulu.

Walaupun dibina beratus tahun dahulu, struktur jambatan besi kereta api di beberapa negeri masih kukuh. Namun, ia hanya digunakan untuk pejalan kaki atau laluan motor dan basikal. Antara jambatan besi kereta api yang masih kukuh ialah Jambatan Besi Kereta Api Tebong yang terletak di dalam daerah Alor Gajah, Melaka.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenainya, mari ikuti perkongsian Persatuan Kartografi Melaka di bawah ini.

Jambatan Besi Kereta Api Tebong Berpotensi Menjadi Salah Satu Lokasi Pelancongan Sejarah

Kumpulan penyelidik Railway Cartographic Research Project (RailCREP) Persatuan Kartografi Melaka berpeluang menjejaki semula sebuah struktur bersejarah warisan kereta api lama Melaka iaitu Jambatan Besi Kereta Api Tebong yang terletak di dalam daerah Alor Gajah, Melaka.

Jambatan besi tersebut yang kelihatan masih kukuh tidak lagi digunakan sebagai laluan kereta api pada waktu kini kerana jajaran tersebut telah ditutup dan menggunakan laluan landasan berkembar yang terletak sekitar lebih kurang tiga kilometer di utara jambatan tersebut. Terdapat juga terowong di jambatan tersebut yang dahulunya mungkin digunakan untuk pejalan kaki atau kenderaan ringan seperti basikal atau motosikal.

Gambar: Persatuan Kartografi Melaka

Di dalam naskah kartografi yang bertajuk Map of the Malacca Territory yang dihasilkan pada tahun 1916 juga memaparkan laluan jajaran landasan keretapi lama di kawasan Tebong yang merentasi sebatang sungai berhampiran pekan Tebong dan di situlah letaknya jambatan bersejarah tersebut.

Sungai yang terlakar di dalam naskah kartografi yang berusia lebih 100 tahun itu adalah Sungai Tebong yang mengalir ke Sungai Batang Melaka lalu ke Sungai Melaka.

Gambar: Persatuan Kartografi Melaka

Jambatan yang dibina berkemungkinan awal tahun 1900an ini berpotensi dalam dijadikan sebagai salah sebuah lokasi pelancongan sejarah berasaskan kereta api lama dalam usaha menggalakkan para pelancong ke negeri Melaka terutamanya di kawasan Tebong.

Walaupun tidak sepanjang Jambatan Victoria di Kuala Kangsar, Perak tetapi kemajuan pelancongan berasaskan sejarah kereta api lama pada jambatan tersebut boleh diinspirasi dan diadaptasi pada jambatan besi kereta api Tebong. Berkemungkinan, ini adalah satu-satunya jambatan besi keretapi jenis “Truss Bridge” yang masih wujud di dalam negeri Melaka.

Gambar: Persatuan Kartografi Melaka
Gambar: Persatuan Kartografi Melaka

Penyelidikan dan analisis informasi oleh barisan penyelidik RailCREP (Dr. Mohd Rohaizat Abdul Wahab, Shahrul Azzim Abd Aziz, Mohd Faizal Khusairy Razali & Mukhtar Nazir).

Terima kasih juga diucapkan kepada Encik Saravanan yang bersama-sama kami dalam menerangkan dengan lebih lanjut berkaitan sejarah dan struktur jambatan ini dengan suasana kawasan Tebong ketika jajaran ini masih digunakan suatu ketika dahulu sebelum ditutup sepenuhnya sekarang.

BACA: Keistimewaan Durian Dicatat Dalam Naskah Lama 430 Tahun Lalu – Persatuan Kartografi Melaka 

The post Sejarah Jambatan Besi Di Melaka Tercatat Dalam Naskhah Kartografi Lama appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*