Selalu Layari Laman Web, Ini Beza HTTP Dengan HTTPS Selalu Ada Pada “Link URL”

Mana Satu Lebih Baik, Ini Perbezaan Antara HTTP Dengan HTTPS?

Selalu Layari Laman Web, Ini Beza HTTP Dengan HTTPS Selalu Ada Pada “Link URL”

Ketika kita melayari internet, kita tidak akan lari daripada menggunakan pautan Pecari Sumber Seragam atau nama lainnya, pautan URL. 

Pada awal pautan URL pula, mesti didahului dengan perkataan iaitu sama ada, http ataupun https.

Sebenarnya, apa maksud di sebalik kedua-dua perkataan ini? Adakah kedua-duanya sama sahaja ataupun memiliki perbezaan antara satu sama lain?

Jika memiliki perbezaan, yang manakah lebih baik dalam konteks penggunaan seharian?

Untuk pengetahuan pembaca, HTTP merujuk kepada Hypertext Transfer Protocol manakala S pada HTTPS pula merujuk kepada Secure.

Sebelum mengetahui perbezaan antara HTTP dan HTTPS, mari kita mengetahui latar belakang di sebalik kedua-dua perkataan ini.

Gambar: Cloudflare

HTTP: Tiada Penyulitan Data Dilaksanakan

Setiap pautan URL yang bermula dengan HTTP akan menggunakan jenis asas Protokol Pemindahan Hiperteks (hypertext transfer protocol).

Protokol ini telah dicipta oleh Tim Berners-Lee pada awal 1990-an iaitu, ketika internet baru sahaja diperkenalkan.

Menerusi standard protokol rangkaian ini, ia membenarkan laman web dan pelayan (servers) untuk berkomunikasi menerusi pertukaran data.

HTTP juga dipanggil sebagai ‘a stateless system‘ yang bermaksud, sistem ini mampu membuat sambungan berdasarkan permintaan.

Ketika anda klik pada satu pautan, secara tidak langsung anda telah membuat permohonan untuk membuat sambungan.

Kemudian, laman pelayar anda akan menghantar permohonan ini kepada pelayan, yang mana memberi maklum balas dengan membuka halaman yang diingini.

Dengan ini, semakin tinggi kadar kelajuan sambungan internet, semakin pantas data dipaparkan terhadap pengguna.

Sebagai protokol, HTTP kekal fokus dalam menyampikan maklumat namun tidak begitu mementingkan cara bagaimana maklumat ini bergerak dari satu tempat.

Ini bermakna, segala maklumat HTTP boleh dipintas dan diubahsuai. Perkara ini menjadikan maklumat yang dihantar dan diterima terdedah kepada bahaya.

Menurut KeyFactor, apabila anda melayari sesebuah laman sesawang, anda sebenarnya turut menghantar beberapa maklumat kepada pelayan sesawang tersebut.

Maklumat-maklumat yang dihantar termasuklah alamat IP dan jenis browser yang anda gunakan. Manakala, semua maklumat ini dihantar secara plain text/teks biasa. Ini bermaksud sesiapa sahaja yang sedang mengawasi trafik anda boleh membaca maklumat tersebut.

Jika anda menggunakan sambungan WiFi awam, maklumat itu boleh dipintas oleh orang lain yang menggunakan jaringan internet yang sama.

Contoh teks biasa menggunakan HTTP / Gambar: Cloudflare

HTTPS: Sambungan Disulitkan

HTTPS bukanlah lawan kepada HTTP, tetapi boleh diibaratkan sebagai ‘adik’ ataupun versi HTTP yang lebih muda.

Kedua-dua secara teknikalnya hampir sama kerana kedua-duanya dirujuk sebagai “hypertext transfer protocol” yang membenarkan data laman sesawang diminta untuk dipaparkan pada skrin.

Akan tetapi, HTTPS memiliki sedikit perbezaan yang mana lebih canggih dan lebih selamat. Secara ringkasnya, protokol HTTPS adalah lanjutan daripada HTTP.

Protokol ini dikuasakan oleh Tansport Layer Security (TLS) iaitu pengganti bagi Secure Sockets Layer (SSL). Ia merupakan sebuah teknologi keselamatan standard yang mewujudkan sambungan yang disulitkan antara pelayan web dan pelayar.

Contoh teks yang disulitkan menerusi HTTPS / Gambar: Cloudflare

HTTPS berfungsi dengan mengenkripsi dan mengdekripsi data-data yang disambungkan antara pengguna dengan pelayan web.

Maklumat yang disulitkan menyukarkan pihak yang berniat tidak baik daripada memintas dan membaca data-data tersebut.

Tanpa HTTPS, segala data pengguna yang dimasukkan dalam laman sesawang seperti username, kata laluan, kad kredit dan sebagainya akan dihantar teks biasa dan oleh itu terdedah kepada pemintasan atau pengendapan.

Atas sebab ini, anda perlu memeriksa sama ada laman web berkenaan menggunakan HTTPS atau tidak sebelum mengisi apa-apa maklumat peribadi secara atas talian.

BACA: “Menipu Harta Orang…”, UAI Ingatkan ‘Geng’ Suka Tipu Tuntutan “Mileage & OT” Masa Kerja

Sumber: Global Sign 

The post Selalu Layari Laman Web, Ini Beza HTTP Dengan HTTPS Selalu Ada Pada “Link URL” appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*