Sime Darby Keluar Dari Perniagaan Penjagaan Kesihatan Dalam Urus Niaga Berbilion Ringgit

Sime Darby penjagaan kesihatan

Sime Darby Keluar Dari Perniagaan Penjagaan Kesihatan Dalam Urus Niaga Berbilion Ringgit

KUALA LUMPUR, 10 Nov (Bernama) — Sime Darby Bhd keluar daripada perniagaan penjagaan kesihatan apabila menjual keseluruhan 50 peratus kepentingan ekuitinya dalam Ramsay Sime Darby Health Care Sdn Bhd (RSDH) kepada Columbia Asia Healthcare Sdn Bhd (Columbia Asia) pada harga RM2.84 bilion.

Ia berkata anak syarikat milik penuh Sime Darby Holdings Bhd (SDHB) dan anak syarikat Ramsay Health Care Ltd, AH Holdings Health Care Pty Ltd, yang memiliki baki 50 peratus dalam RSDH, hari ini menandatangani perjanjian dengan Columbia Asia bagi melupuskan 100 peratus kepentingan dalam RSDH yang bernilai RM5.68 bilion.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Sime Darby berkata perjanjian itu akan membolehkan kumpulan membuka nilai aset penjagaan kesihatannya, yang sebelum ini dianggap bukan teras, dengan keuntungan RM2 bilion daripada pelupusan berkenaan.

“Hasil daripada pelupusan yang dicadangkan itu akan membolehkan Sime Darby dan anak-anak syarikatnya mengukuhkan lagi perniagaan terasnya iaitu perindustrian dan automotif dengan mengurangkan pinjamannya hasil daripada pengambilalihan UMW Holdings Bhd,” katanya.

Dengan cara ini, Sime Darby berkata ia akan menurunkan penggearannya dan menyediakan peluang melakukan sesuatu untuk kunci kira-kira kumpulan.

RSDH mengendalikan empat hospital di Malaysia dan tiga hospital di Indonesia.

Columbia Asia ialah syarikat penjagaan kesihatan swasta antarabangsa yang berpangkalan di Malaysia dan anak syarikat milik penuh Columbia Asia Healthcare Pte Ltd (CAHSG). Sebanyak 99.9 peratus dalam CAHSG dimiliki oleh HLT Healthcare Holdings Ltd, yang mana dimiliki bersama oleh konglomerat Malaysia, Hong Leong Group dan One Health Holdings, yang dimiliki dan dikawal oleh dana yang diuruskan oleh TPG.

Dalam satu kenyataan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby Datuk Jeffri Salim Davidson berkata walaupun perniagaan hospital adalah aset yang hebat, kumpulan itu sentiasa mengekalkan tumpuannya pada perniagaan teras iaitu automotif dan perindustrian.

BACA: Lain Dari Lain, Chef Ni Buat Drama Pendek Untuk Kongsi Resipi, Jalan Cerita ‘Plot Twist’ Habis

“Tawaran daripada Columbia Asia adalah tawaran yang tidak boleh kami tolak,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Columbia Asia Tunku Ali Redhauddin ibni Tuanku Muhriz berkata RSDH mempunyai platform hospital yang unik dengan sejarah panjang penjagaan pesakit yang sangat baik untuk komuniti di Malaysia dan Indonesia.

“Ini akan melengkapkan Columbia Asia, dan kami berharap dapat bekerjasama dengan barisan doktor, jururawat dan rakan sekerja lain daripada RSDH dan Columbia Asia untuk terus menyumbang kepada ekosistem penjagaan kesihatan di Malaysia, Indonesia dan Vietnam,” katanya.

Hasil daripada penjualan itu, Sime Darby berkata ia akan digunakan untuk membayar balik pinjaman bagi pemerolehan UMW Holdings Bhd dan/atau membiayai perbelanjaan tunai bagi tawaran am mandatori pengambilalihan itu.

Kumpulan itu menjangkakan pelupusan yang dicadangkan akan diselesaikan pada suku ketiga tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2024.

Sumber: BERNAMA

The post Sime Darby Keluar Dari Perniagaan Penjagaan Kesihatan Dalam Urus Niaga Berbilion Ringgit appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*