Tarif Air Naik Purata 22 Sen Setiap Meter Padu Mulai 1 Februari

tarif air domestik

Tarif Air Naik Purata 22 Sen Setiap Meter Padu Mulai 1 Februari

CYBERJAYA — Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) memaklumkan pelarasan tarif air domestik akan dilaksanakan di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan melibatkan kenaikan purata sebanyak 22 sen bagi setiap meter padu mulai 1 Februari depan.

Perkara itu dimaklumkan SPAN dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut SPAN, pelarasan tarif air itu akan dilaksanakan di bawah Mekanisme Penetapan Tarif atau Tariff Setting Mechanism (TSM).

“Di bawah TSM, struktur dan komponen tarif akan diseragamkan untuk negeri-negeri di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan manakala tarif air akan dikaji semula setiap tiga tahun untuk memastikan keselarasan dalam penentuan bayaran.

“Pelarasan tarif air bagi kategori domestik tidak lagi boleh ditangguhkan agar tidak menjejaskan kemapanan industri perkhidmatan air dalam jangka masa panjang sekali gus memberi impak kepada kualiti perkhidmatan bekalan air yang dinikmati oleh rakyat.

“Justeru, pelarasan tarif air yang mencerminkan kos bekalan air sangat penting bagi membolehkan operator air meningkatkan tahap perkhidmatan dalam membekalkan air yang berkualiti secara berterusan,” kata SPAN.

Menerusi semakan tarif ini, operator air lebih bersedia untuk membuat pelaburan berterusan bagi membangunkan infrastruktur sistem bekalan air seperti membina atau menaik taraf loji rawatan air, membuat penggantian paip usang, melaksanakan penyelenggaraan secara berkala dan menangani aduan dengan lebih cekap.

BACA: Pan Gon Mohon Maaf Gagal Beri Keputusan Positif Berdepan Jordan

Perkara ini demi menjamin kelangsungan perkhidmatan bekalan air dan sekali gus memenuhi ekspektasi pengguna.

Pun begitu, SPAN memberitahu kenaikan ini masih rendah dan tidak dapat menampung kos sebenar penyediaan perkhidmatan bekalan air sebanyak RM1.75 bagi setiap meter padu berdasarkan rekod sebenar 2022.

“Walau bagaimanapun, bagi meminimumkan impak kenaikan ke atas bil air bulanan rakyat, operator bekalan air di negeri masing-masing disaran untuk meneruskan inisiatif sedia ada iaitu memberikan bantuan kepada pengguna domestik secara bersasar seperti pemberian rebat kepada golongan B40,” jelasnya lagi.

Sehubungan itu, pihaknya menyeru semua pengguna untuk bersama-sama mengamalkan penggunaan air secara  berhemat.

Langkah Penggunaan Air Berhemat

Antara langkah yang boleh diamalkan termasuk menggunakan produk cekap air di bawah Skim Pelabelan Produk Cekap Air oleh SPAN.

Selain itu, pengguna boleh memeriksa dan membaiki sebarang kebocoran paip dan pili air di premis masing-masing serta memasang sistem penuaian air hujan dan penggunaan air kitar semula sebagai sumber air alternatif untuk kegunaan bukan minuman.

Semalam telah berlangsungnya sesi bersama media mengenai pelarasan tarif demi meningkatkan tahap perkhidmatan bekalan air di Hotel Pulse Grande, Putrajaya.

Turut hadir dalam majlis berkenaan adalah Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, Timbalan Ketua Setiausaha (Air dan Pembetungan), Dato’ Razali Mohamad, Pengerusi SPAN, Charles Santiago dan Ketua Pegawai Eksekutif SPAN Dato’ Ahmad Faizal bin Abdul Rahman.

Sumber: Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN)

The post Tarif Air Naik Purata 22 Sen Setiap Meter Padu Mulai 1 Februari appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*