Wan Saiful tiba bagi menjawab pertuduhan rasuah kes Jana Wibawa

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan tiba di Mahkamah Sesyen di sini sebentar tadi bagi menjawab pertuduhan rasuah berkaitan dana Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu tiba di pekarangan mahkamah kira-kira pukul 8.45 pagi.

Turut kelihantan di mahkamah, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang juga Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yasin; Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr. Mohd. Radzi Jidin.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan seorang pemimpin kanan sebuah parti politik berpangkat Datuk antara dua individu yang bakal didakwa berhubung projek Jana Wibawa.

Satu sumber mendedahkan kepada akhbar ini, suspek yang juga seorang ahli Parlimen itu disyaki telah menerima rasuah daripada kontraktor yang melaksanakan projek Jana Wibawa itu.

Kata sumber itu, selain beliau, seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah syarikat juga akan didakwa melibatkan siasatan kes sama.

Pada 9 Disember 2022, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan sudah menerima butiran berhubung pecahan dana pakej rangsangan ekonomi yang dibelanjakan kerajaan pada 2020 dan 2021 berhubung pengurusan Covid-19 daripada Kementerian Kewangan.

SPRM dalam kenyataan berkata, fokus siasatan kini adalah terarah kepada RM92.5 billion membabitkan dana kerajaan daripada nilai dakwaan penyelewengan wang perbelanjaan negara yang dianggarkan hampir RM600 bilion.

Susulan siasatan itu, beberapa kontraktor mengakui membayar komisen terbabit dengan wang berkenaan akan dimasukkan ke dalam akaun sebuah parti politik kononnya untuk tujuan pembiayaan politik.

Pada 2 Februari lalu, SPRM mengesahkan telah membeku dua akaun bank membabitkan sebuah parti politik bernilai lebih RM40 juta bagi membantu siasatan penyelewengan dana di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi. – UTUSAN

The post Wan Saiful tiba bagi menjawab pertuduhan rasuah kes Jana Wibawa appeared first on Utusan Malaysia.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*