TH Umum 3.1 Peratus Agihan Keuntungan Bagi 2022

TH umum 3.1 agihan peratus

TH Umum 3.1 Peratus Agihan Keuntungan Bagi 2022

KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) — Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini mengumumkan agihan keuntungan 3.1 peratus selepas zakat bagi tahun kewangan 2022.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar ketika mengumumkan perkara itu berkata agihan keuntungan berkenaan melibatkan jumlah sebanyak RM2.65 bilion dan akan memberi manfaat kepada lebih 8.7 juta pendeposit TH.

Beliau turut mengumumkan TH mencatatkan pendapatan kasar RM3.8 bilion bagi tahun 2022 berbanding RM3.72 bilion pada tahun 2021.

Baca: Rezeki Ramadan, Tengah ‘Shopping’ Raya Ada Yang Tawar X70 Percuma

“Agihan keuntungan ini adalah kompetitif mengambil kira antara lainnya kadar agihan bagi tahun 2022 adalah lebih tinggi daripada purata kadar deposit tetap perbankan Islam bagi tempoh 12 bulan, iaitu 2.34 peratus, dan zakat telah dilunaskan bagi pihak pendeposit,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi TH Tan Sri Azman Mokhtar dan Pengarah Urusan Kumpulan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif TH Datuk Seri Amrin Awaluddin dan Pengarah Eksekutif Kewangan Kumpulan TH Mustakim Mohamad.

Menurut Mohd Na’im, pengiraan agihan keuntungan tahun 2022 adalah berdasarkan purata baki minimum bulanan yang disimpan sepanjang tahun iaitu sebagaimana pengiraan tahun-tahun sebelum ini.

“Agihan ini telah ditolak zakat berjumlah RM97 juta yang dilunaskan kepada semua Majlis-majlis Agama Islam Negeri bagi pihak pendeposit TH.

“Para pendeposit tidak perlu lagi membayar zakat ke atas wang simpanan serta agihan keuntungan yang diterima. Sehingga kini, TH telah melunaskan zakat  berjumlah RM1.27 bilion,” katanya.

Beliau berkata pendeposit TH boleh memeriksa keuntungan yang dikreditkan ke akaun masing-masing bermula 12 tengah hari esok, menerusi platform THiJARI, kaunter TH, kaunter Bank Islam dan Bank Rakyat dan saluran elektronik bank rakan strategik TH iaitu Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank Islamic, CIMB Islamic dan AmBank Islamic.

Sementara itu Mustakim berkata kadar agihan keuntungan TH tahun 2022 adalah sama dengan tahun 2021 iaitu 3.1 peratus namun ada peningkatan tujuh peratus daripada jumlah agihan keuntungan iaitu RM2.65 bilion pada tahun 2022 berbanding RM2.46 bilion pada tahun sebelumnya.

Mustakim berkata kenaikan jumlah agihan keuntungan itu adalah disebabkan peningkatan simpanan dalam akaun pendeposit TH.

Sumber: BERNAMA

The post TH Umum 3.1 Peratus Agihan Keuntungan Bagi 2022 appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*