Tiada potongan LPF, Sumpahan Syaitan lulus tayangan

PETALING JAYA: Filem Sumpahan Syaitan yang bakal ditayangkan di pawagam 2 Mac depan lulus tayangan tanpa sebarang potongan dan mendapat klasifikasi PG13.

Pengarahnya, Roy berkata, dia sudah menjalankan kajian sebelum memulakan penggambaran bagi memastikan tiada adegan yang dipotong bagi mendapatkan klasifikasi tersebut.

“Sebelum mula penggambaran saya sudah bertemu pihak kementerian dan agensi terlibat bagi memastikan filem ini lulus tanpa sebarang potongan.

“Saya juga mahu memastikan setiap babak membawa penonton memahami jalan cerita serta nilai yang ada dalam Sumpahan Syaitan,” ujarnya.

Sumpahan Syaitan mengisahkan Sam terpaksa melarikan diri selepas dirinya diperdaya skim pelaburan cepat kaya.

Namun nasib Sam bertambah malang apabila berdepan pelbagai kejadian misteri dan seram ketika menyembunyikan diri di sebuah hotel milik sahabat baiknya, Malik.

Filem terbitan D-Bay Filem Factory itu menampilkan pelakon-pelakon hebat antaranya Farid Kamil, Datuk Jalaludin Hassan, Nynaa Harizal, Datuk AC Mizal dan ramai lagi.

Sementara itu, Roy menambah, Sumpahan Syaitan juga berjaya menggabubgkan sebahagian ahli kumpulan pelawak legenda Senario antaranya Azlee, Saiful Apek dan Yasin.

“Sumpahan Syaitan adalah sebuah filem seram-komedi yang menggabungkan pelabagi adegan misteri tetapi dalam pada sama menghiburkan dan memberi pengajaran.

“Memang pada awalnya saya mahu mengarah filem itu supaya mempunyai nilai komersialnya sendiri. Seram tetapi meriah.

“Saya harap filem ini mendapat sambutan, kalau boleh pecah pangging. Lagipun penonton tempatan memberi sokongan kepada filem lokal,” kongsinya.

The post Tiada potongan LPF, Sumpahan Syaitan lulus tayangan appeared first on Utusan Malaysia.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*