Tidak Mahu Buat Kecoh, Polis Bali Dilarang Masuk Kelab Malam Kecuali Diberikan Tugas

polis bali dilarang masuk kelab malam

Tidak Mahu Buat Kecoh, Polis Bali Dilarang Masuk Kelab Malam Kecuali Punyai Tugas

Polis Bali melarang anggota-anggotanya daripada mengunjungi kelab malam di wilayah berkenaan namun dikecualikan sekiranya mempunyai sebab kukuh seperti menjalankan tugas, lapor Detik.com.

Menurut Ketua Bahagian Profesion dan Keselamatan Polis Bali Ketut Kusmayadi, perkara tersebut dilakukan kerana mahu mengelakkan anggota membuat kekecohan dalam kalangan masyarakat.

“Larangan ini dilaksanakan supaya tiada lagi anggota mabuk dan buat bising ketika meluangkan masa di tempat itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu perhimpunan di mana fungsi pembangunan profesional dan keselamatan dalam negeri juga diterangkan supaya dapat dikembangkan di Ibu Pejabat Polis Bali.

Perhimpunan pada pagi itu juga bertujuan untuk memeriksa kekuatan kakitangan.

“Saya juga tidak mahu melihat lagi ahli menghabiskan waktu lapang dengan berlibur di kelab malam kecuali mempunyai sebab yang kukuh dengan akauntabiliti yang jelas,” tambahnya.

Kusmayadi turut meminta semua anggota meningkatkan disiplin dan tidak melakukan pelanggaran undang-undang, lebih-lebih lagi kerana Polis Indonesia pada ketika ini telah menjadi tumpuan umum.

“Justeru, tingkatkan disiplin dan prestasi serta jauhi pelanggaran. Saya tidak mahu melihat lagi anggota terlibat dengan jenayah seperti perjudian dan dadah,” ujar Kusmayadi.

Pernah berlaku kejadian ngeri

Sebelum ini, seorang anggota polis berusia 37 tahun telah ditikam dan dipukul ketika mengunjungi kelab malam.

Kejadian ngeri itu berlaku di hadapan kelab malam di Bandung sekitar 3 petang (waktu Indonesia) pada 8 Januari lalu.

Memetik detik.com, dakwaan memukul dan menikam anggota Polis Bali bermula dengan salah faham antara mangsa dan kumpulan penjenayah di kelab malam tersebut.

Salah faham itu tercetus kerana seorang pelaku memegang punggung seorang pengunjung yang sedang berseronok di kawasan liburan tersebut.

Seramai lima individu dilaporkan membelasah polis dari daerah Jembrana itu. Oleh itu, polis telah menahan dua daripada lima suspek untuk siasatan lanjut.

Manakala, tiga lagi suspek telah dimasukkan ke dalam senarai orang dikehendaki polis.

Sumber: Detik.com

BACA: Letupan Besar ‘Musnahkan’ Sebuah Kelab Malam, Puluhan Mangsa Dilapor Cedera

The post Tidak Mahu Buat Kecoh, Polis Bali Dilarang Masuk Kelab Malam Kecuali Diberikan Tugas appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*