Tiga Anggota Tentera Maut Di Gurun Dari Kem Pengkalan Hulu

tiga anggota tentera maut

Tiga Anggota Tentera Maut Di Gurun Dari Kem Pengkalan Hulu

ALOR SETAR, 2 Feb (Bernama) — Tiga anggota tentera yang maut dalam nahas di Kilometer 77.5 Lebuhraya Utara Selatan arah utara dekat Gurun hari ini adalah dari Batalion 3 Rejimen Sempadan Kem Pengkalan Hulu di Perak.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Zaidy Che Hassan berkata dalam nahas pada kira-kira 10.30 pagi itu, kesemua mangsa yang berpangkat Sarjan, Lans Koperal dan Koperal berumur 30, 39 dan 40 tahun meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala serta badan.

Beliau berkata nahas itu membabitkan tiga lori tentera serta sebuah lori awam dan siasatan awal mendapati kesemua lori sedang bergerak dari arah selatan menghala ke utara.

“Tiga lori tentera itu bergerak dari Kem Pengkalan Hulu ke Kem 30 Bridged Perlis manakala lori awam yang dipandu lelaki berusia 31 tahun itu dari arah Kulim ke Alor Setar.

“Punca kemalangan dipercayai berlaku apabila tiga lori tentera itu berhenti di lorong kecemasan kerana satu daripadanya mengalami kerosakan. Secara tiba-tiba, lori awam datang dari arah belakang lorong kiri dan melanggar lori yang rosak yang berada paling belakang,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Zaidy berkata akibat pelanggaran itu, lori awam berpusing ke kiri serta melanggar bahagian belakang sebuah lagi lori tentera yang berada di bahagian tengah dan lori terbabit menggelongsor ke depan sebelum melanggar bahagian belakang trak tentera yang berada paling hadapan.

“Dipercayai ketiga-tiga anggota tentera berada di sebelah sisi lori tentera paling belakang. Akibat kemalangan itu, kesemua anggota maut di tempat kejadian manakala pemandu lori awam yang mengalami kecederaan parah dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah di sini,” katanya.

Beliau berkata siasatan awal mendapati punca kemalangan dipercayai disebabkan oleh lori awam yang hilang kawalan dan melanggar bahagian belakang trak tentera.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber: BERNAMA

The post Tiga Anggota Tentera Maut Di Gurun Dari Kem Pengkalan Hulu appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*