Ukraine tolak gencatan senjata tajaan Russia

KIEV – Ukraine menolak pengumuman Russia mengenai gencatan senjata selama 36 jam bagi menghomati perayaan Krismas oleh penganut Kristian Ortodoks, lapor portal berita The Guardian kelmarin.

Menurut Kiev, tidak akan ada gencatan senjata sehingga Moscow mengundurkan tenteranya dari tanah Ukraine yang diduduki sejak 24 Februari lalu.

Kremlin menyatakan bahawa Putin telah mengarahkan Menteri Pertahanan, Sergei Shoigu untuk mengadakan gencatan senjata sementara di Ukraine sempena sambutan Krismas penganut Ortodoks dari tengah hari semalam hingga tengah malam hari ini.

“Saya mengarahkan Shoigu untuk memperkenalkan gencatan senjata di Ukraine dari pukul 12 (tengah hari) pada 6 Januari 2023 hingga 12 tengah malam 7 Januari 2023,” demikian menurut arahan Putin seperti diterbitkan di laman web Kremlin.

“Berdasarkan fakta bahawa sebilangan besar penduduk Ortodoks tinggal di kawasan permusuhan (Ukraine), kami menyeru pihak Ukraine untuk mengisytiharkan gencatan senjata dan membenarkan mereka menghadiri majlis keagamaan pada malam Krismas dan pada Hari Krismas,” tambah Putin.

Ramai penganut Kristian Ortodoks termasuk mereka yang tinggal di Russia dan Ukraine, menyambut Krismas pada 6 hingga 7 Januari ini dan sejak perang bermula, sejumlah penduduk Ukraine memilih untuk merayakan perayaan itu mengikut kalendar Gregorian berbanding kalendar Julian yang masih

digunakan oleh gereja-gereja Ortodoks Russia.

Bagaimanapun, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy menolak pengumuman gencatan senjata Russia itu dengan menyatakan, Moscow hanya membuat pengumuman untuk menghentikan kemaraan Ukraine di wilayah timur, Donbas dan menggerakkan lebih ramai anggota-anggota tentera lelaki.

“Mereka (Russia) kini mahu menggunakan Krismas sebagai ‘pelindung’ walaupun bertujuan untuk menghentikan kemaraan anak-anak lelaki (askar-Kraskar Ukraine) di Donbas dan membawa peralatan, peluru dan tentera lebih dekat pada kedudukan kami,” kata Zelenskyy dalam ucapan videonya.

Penasihat Presiden Ukraine iaitu Mykhailo Podolyak menganggap deklarasi Russia itu sebagai pembohongan dan menurut kenyataan beliau di laman Twitter, Russia mesti meninggalkan wilayah yang diduduki dan barulah gencatan senjata sementara boleh diadakan.

Setiausaha Majlis Keselamatan dan Pertahanan Ukraine, Oleksiy Danilov turut menolak cadangan gencatan senjata Russia dan menuduh Moscow ‘bersembunyi’ di sebalik cuti penganut Kristian. – Agensi

The post Ukraine tolak gencatan senjata tajaan Russia appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*