Wakil UMNO Akan Dilantik Sebagai Exco Pulau Pinang – Loke

umno pulau pinang

Wakil UMNO Akan Dilantik Sebagai Exco Pulau Pinang – Loke

KUALA LUMPUR (Bernama) — Parti Tindakan Demokratik (DAP) bersetuju agar seorang wakil UMNO mewakili Barisan Nasional (BN) dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Pulau Pinang bagi mengangkat semangat Kerajaan Perpaduan, kata Setiausaha Agungnya Anthony Loke.

Loke yang juga Menteri Pengangkutan berkata perkara itu sebulat suara dipersetujui dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP yang berlangsung semalam.

“DAP menerajui Pulau Pinang menerusi Ketua Menteri kita daripada parti DAP, satu-satunya negeri diterajui Ketua Menteri daripada DAP.

“CEC bersetuju kita cadangkan kepada Ketua Menteri untuk melantik seorang ahli exco daripada UMNO mewakili BN sebab ada dua calon BN yang menang di Pulau Pinang, maka kita akan lantik wakil BN untuk menduduki dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang,” katanya dalam sidang media di sini semalam.

Turut hadir Pengerusi DAP Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, Timbalan Pengerusi DAP Gobind Singh Deo, Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Teo Nie Ching dan pimpinan tertinggi parti itu.

Semalam, Chow yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri bagi penggal kedua setelah gabungan PH-BN memenangi 29 daripada 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada Pilihan Raya Negeri (PRN)

Daripada jumlah itu, DAP memenangi kesemua 19 kerusi ditandingi, manakala PKR meraih tujuh kerusi, BN (2) dan Amanah satu kerusi.

Dua kerusi dimenangi BN ialah di Bertam menerusi Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Sungai Acheh yang diwakili Rashidi Zinol.

Sementara itu, Loke berkata parti itu juga akan mengemukakan nama calon kepada Menteri Besar dan Ketua Menteri untuk diangkat sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di tiga negeri diterajui gabungan BN-PH iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang, dalam masa terdekat ini.

BACA: Lesen Fizikal Tak Pernah Dihentikan, Masih Boleh Dimohon – Anthony Loke

Berhubung pascanilai selepas PRN berhubung kerjasama antara parti dalam Kerajaan Perpaduan, Loke berkata buat masa ini ia belum dilaksanakan.

“Yang jelas bahawa di kerusi-kerusi yang kita menang ia menunjukkan kerjasama baik antara PH dan BN, ini amat jelas sekali di Negeri Sembilan di mana kita menang 31 daripada 36 kerusi atas kerjasama antara dua gabungan walaupun ia kerjasama baharu tapi ia formula kejayaan dalam pilihan raya,” katanya.

Pada masa sama, Loke menyifatkan kerusi DUN Sungai Pelek di Selangor yang dimenangi DAP pada PRN kali ini, sebagai ‘kerusi kebanggaan’ parti itu, memandangkan hampir 60 peratus pengundi di situ merupakan pengundi Melayu, kira-kira 20 peratus pengundi Cina dan 15 peratus pengundi India.

“Kita meletakkan seorang calon pemimpin akar umbi daripada kaum Cina dan berjaya tewaskan calon PN daripada Bersatu, ini satu contoh kejayaan yang sangat signifikan dan menunjukkan pengundi di Selangor, termasuk Melayu boleh menerima calon PH,” katanya.

Pada PRN baru-baru ini, DAP menang 46 daripada 47 kerusi DUN yang ditandingi di empat negeri, iaitu 19 kerusi di Pulau Pinang, Selangor (15), Negeri Sembilan (11) dan satu kerusi di Kedah.

Sumber: BERNAMA

The post Wakil UMNO Akan Dilantik Sebagai Exco Pulau Pinang – Loke appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*