Nelayan Maut Terkena Renjatan Elektrik

nelayan renjatan elektrik

Nelayan Maut Terkena Renjatan Elektrik

MARANG, 16 Jan (Bernama) — Seorang nelayan ditemukan meninggal dunia dipercayai terkena renjatan elektrik ketika membersihkan bot di Kuala Sungai Marang, di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Marang DSP Mohd Razman Setapa berkata Muhamad Zai Hisham Zaidir, 24,  berasal dari Kampung Bukit Mengawan, Hulu Terengganu dipercayai terkena renjatan elektrik ketika membaiki lampu sorot dalam bot berkenaan.

“Mangsa dijumpai bapanya kira-kira 8.30 pagi tadi dalam keadaan sudah tidak bernyawa.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk bedah siasat. Mangsa disahkan meninggal dunia akibat terkena renjatan elektrik,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Razman berkata siasatan mendapati tiada unsur jenayah ditemui dan kematian diklasifikan sebagai mati mengejut.

Sementara itu, bapa mangsa Zaidir Zahid, 51, berkata sebelum kejadian, dia bersama anaknya itu membaiki bot milik mereka sebelum diminta pulang ke rumah kira-kira 1 pagi.

BACA: Wanita Maut Ditikam Dengan Senjata Tajam

“Saya agak dia (Muhamad Zai Hisham) turun menyelam untuk membaiki kipas bot dan dalam keadaan basah…dia naik mengambil lampu sorot untuk buat kerja.

“Tetapi nasib tak baik kerana lampu sorot tu ada wayar yang rosak. Dia pula dalam keadaan basah,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik HSNZ.

Zaidir berkata ketika ditemui, mayat anaknya dalam keadaan keras dan badannya juga bertukar kebiruan-biruan.

Walaupun sedih, dia sekeluarga reda dengan pemergian Muhamad Zai Hisham yang disifatkan sebagai anak yang baik dan taat kepada ibu bapa.

Sumber: BERNAMA

The post Nelayan Maut Terkena Renjatan Elektrik appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*