14,000 Warga Pangkalan Udara Subang Nikmati Penambahbaikan Infrastruktur

14,000 Warga Pangkalan Udara Subang Nikmati Penambahbaikan Infrastruktur

SEJUMLAH RM400 juta peruntukan  yang diperoleh Kementerian Pertahanan (Mindef) daripada pembentangan Belanjawan 2024 oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 13 Oktober, baru-baru ini, dimanfaat untuk menaik taraf infrastruktur warga pangkalan yang terdiri daripada anggota dan pegawai di Pangkalan Udara (PU) Subang, Selangor.

Warga Pangkalan Udara Subang

Dua projek menjadi fokus Bahagian Senggaraan PU Subang iaitu penggantian paip air yang berusia lebih 35 tahun, kerja-kerja mengecat, menyelenggara lif-lif dan membaiki unit-unit residensi yang merangkumi 38 blok pangsapuri setinggi lapan tingkat di atas tanah berkeluasan 551 hektar.

Ketua Cawangan Senggaraan Pangkalan Udara (PU) Subang, Selangor, Mejar Mohd Fadzree Ismail TUDM berkata, fokus diberi kepada penggantian dan pemasangan paip baharu.

Ini kerana menurut pencerahan Mejar Fadzree, paip-paip sedia ada di PU Subang bukan sahaja sudah terlalu lama usianya tetapi dikhuatiri memberi kesan kesihatan kepada 14,000 warga pangkalan jika tidak diganti.

Warga Pangkalan Udara Subang

Beliau berkata, kerja-kerja menukar paip-paip sepanjang kira-kira 17 kilometer sudahpun bermula dan dijangka siap menjelang September tahun depan.

“Air ialah sumber kehidupan di mana kita tidak mahu berhadapan dengan gangguan bekalan air disebabkan oleh paip-paip lama ini pecah dan kalau ikutkan, tahun ini sahaja, kira-kira 10 kali warga pangkalan di PU Subang berhadapan dengan gangguan bekalan air.

“Projek penukaran paip daripada jenis lama iaitu Asbestos Ceramic (AC) kepada Mild Steel (MS) dijangka mengambil masa sekitar setahun setengah dan akan ada tambahan tangki sebanyak satu unit dengan kapasiti isi padu 0.5 juta gelen air,” katanya.

Mejar Fadzree berkata, warga PU Subang melihatkan pertambahan kira-kira 40 peratus termasuk ahli keluarga ekoran perpindahan warga PU Kuala Lumpur, Sungai Besi ke PU Subang.

Dua markas yang terlibat dalam perpindahan ini ialah dari MPBU dan MPOU.

Ujar Mejar Fadzree lagi, pemasangan paip-paip baharu itu akan bersambung dengan paip daripada Syabas Selangor dan air akan mengalir terus masuk ke dalam empat tangki termasuk satu tangki baharu untuk menyalur air bagi kegunaan warga PU Subang.

Katanya, kos pertukaran paip-paip lama kepada baharu menelan belanja RM17 juta dan itu disalurkan oleh Mindef.

“Ini akan memberi manfaat kepada seluruh warga PU Subang dan bagi anggota yang bertugas, mereka akan merasa tenang dan lebih fokus serta mampu memberi tumpuan 100 peratus  terhadap tugas.

“Ini kerana mereka sedar dan mengetahui dan isteri dan anak-anak selesa di rumah apabila ditinggalkan demi tugas,” ujar beliau.

Apa yang dilakukan oleh Kerajaan terhadap anggota tentera adalah timbal balas ke atas pengorbanan setiap anggota tentera untuk menjaga keselamatan negara, katanya.

“Dengan dada lapang, keluarga yang ditinggalkan bukan sahaja selesa tetapi yang lebih penting ialah selamat tanpa adanya faktor luaran yang mengganggu ketika bertugas,” kata Mejar Fadzree.

Untuk penambahbaikan instrastruktur yang lebih kondusif dan lestari, Mejar Fadzree berkata, pada masa hadapan, akan dimajukan penukaran kabel elektrik di pangsapuri-pangsapuri PU Subang serta pemasangan kabel telekomunikasi yang lebih pantas. 

Warga Pangkalan Udara Subang

Satu lagi projek yang menjadi tumpuan di PU Subang ialah kerja-kerja mengecat blok-blok bangunan pangsapuri.

“Bagi kerja-kerja mengecat, anggaran kasar bagi mengecat sesebuah blok adalah lebih kurang RM180,000.00 dan terdapat sebanyak  38 buah blok pangsapuri dalam Pangkalan ini. Oleh itu, untuk tahun 2023 terdapat 7 blok yang disenaraikan untuk dicat semula, selebihnya adalah mengikut peruntukan yang akan datang.

“Di PU Subang, terdapat blok yang berusia hampir 20 tahun dan ada juga blok yang lebih lama usianya. 

Warga Pangkalan Udara Subang

“Oleh itu, PU Subang amat berterima kasih kepada Kerajaan dan pihak pengurusan Mindef kerana menyalurkan peruntukan sebanyak RM1.5 juta bagi kos mengecat dan membaik pulih mana-mana unit lama yang usang sebelum diduduki,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Waran Udara II, Rizal Muhamad, 42, berkata, apabila dilakukan penambahbaikan di PU Subang, diharapkan masalah gangguan bekalan air dapat dibendung.

Warga Pangkalan Udara Subang

“Saya bersyukur apabila kerja-kerja menaiktaraf infrastruktur seperti pemasangan paip baharu bagi menggantikan paip lama sedang dilakukan kerana itulah yang menjadi punca gangguan bekalan air. Paip-paip yang ada terlalu lama usianya an sering pecah,” katanya yang berkhidmat di Markas Operasi Udara selama 1 tahun 4 bulan.

Beliau berkata, keprihatinan Kerajaan dan Mindef dalam menentukan warga PU Subang tinggal di rumah yang selesa dan selamat, amat dihargai.

“Apabila kerja-kerja senggara lif-lif turut diadakan, ia disambut baik oleh kami semua walaupun masalah lif hanya 1 peratus sahaja. Bukan masalah besar.

“Cuma apabila lif disenggara dengan baik maka kita pun berlapang dada kerana keselamatan terjamin untuk digunakan oleh isteri dan anak-anak apabila kita bertugas,” katanya.

Tambah Rizal lagi, penambahbaikan insfrastruktur yang dilakukan termasuklah menukar tingkap-tingkap lama dan dengan penggunaan tingkap baharu, keselamatan penghuni di dalam rumah terjamin kerana warga PU Subang tinggal di blok-blok pangsapuri.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi penghargaan kepada pengurusan tertinggi Mindef di atas keprihatinan mereka dalam memastikan kami warga PU Subang tinggal dalam keadaan selamat dan selesa,” katanya.

Warga Pangkalan Udara Subang

Apa yang diucapkan oleh Rizal, dipersetujui isterinya, Nur Hasmadila Wahab, 36.

Menurut Nur Hasmadila atau lebih mesra dengan panggilan Nur, beliau dan anak-anak selesa tinggal di unit pangsapuri yang disediakan untuk pegawai dan anggota yang sudah berkeluarga.

Mempunyai empat orang cahayamata, masing-masing berusia 17,  15, 12 dan 6 tahun, Nur berkata, sebagai warga PU Subang, turut disediakan sekolah.

“Sejak setahun lebih kami tinggal di sini, tiada apa-apa masalah sebaliknya selesa dan selamat. Kalau setakat masalah kecil seperti kerosakan dalam rumah, itu perkara biasa,” katanya sambil mengakui, jiran tetangga di blok pangsapuri ramah dan mesra.

Warga Pangkalan Udara Subang

Koperal Muhammad Asyraf Azmin, 29, yang tinggal di salah satu unit pangsapuri di Blok G2 berkata, kerja-kerja senggaraan bangunan sedang berjalan dan rata-rata warga yang tinggal di blok tersebut amat gembira dengan keprihatinan yang diberi oleh pihak pengurusan tertinggi Mindef.

“Blok G2 adalah blok pangsapuri yang lama tetapi kami menjaganya dengan baik dan apabila kerja-kerja mengecat blok sedang dijalankan, ia memberi satu wajah baharu dan semangat baharu kepada kami semua terutamanya isteri dan anak-anak,” katanya yang berkhidmat selama lima tahun sebagai PTTR Ruang Enjin Cawangan Kejuruteraan.

Tinggal di unit berkenaan bersama isteri dan seorang cahayamata sejak empat tahun yang lalu, peruntukan yang diluluskan oleh Kerajaan membuktikan bahawa jasa setiap anggota TUDM dihargai kerana kebajikan, keselesaan tempat tinggal dan keselamatan ditambahbaik.

Warga Pangkalan Udara Subang

“Rumah didiami selesa kerana telah dilakukan kerja-kerja menukar dan memasang tiles mengikut keperluan, menukar pintu jika pintu sudah rosak, disediakan tandas dan bilik mandi dalam keadaan yang baik.

“Blok G2 adalah blok pangsapuri di PU Subang yang paling lama usianya iaitu lebih 35 tahun. Dengan peruntukan yang disalurkan, bangunan blok dicat dan lif-lif disenggara dengan baik. 

“Ini paling menggembirakan kami, terima kasih pengurusan tertinggi Mindef, terima kasih Kerajaan yang meluluskan Belanjawan 2024,” katanya.  

Warga Pangkalan Udara Subang

The post 14,000 Warga Pangkalan Udara Subang Nikmati Penambahbaikan Infrastruktur appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*