JDT hampir buat Shanghai Port ‘ternganga’

KUALA LUMPUR: Shanghai Port nyaris dimalukan apabila terpaksa bangkit dua kali daripada ketinggalan untuk mengikat Johor Darul Ta’zim (JDT) 2-2 pada aksi pertama Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) 2024/25 di Stadium Bola Sepak Pudong, Shanghai, sebentar tadi.

Keputusan ini menyaksikan skuad Harimau Selatan berjaya mengutip mata buat kali pertama pada aksi pembukaan di tempat lawan sejak kali pertama menyertai saingan elit itu pada 2019.

Pemain sayap kebangsaan, Arif Aiman Hanapi muncul pemain paling menyerlah selepas berjaya merobek gawang pendahulu Liga Super China (CSL) itu sekali pada setiap babak.

Ketiadaan had untuk pemain import bagi saingan ACLE menyaksikan JDT tampil dengan kekuatan penuh apabila menurunkan sembilan pemain import dan hanya dua pemain tempatan iaitu Natxo Insa dan Arif Aiman.

Shanghai Port tampak lebih mendominasi permainan namun JDT berjaya menyerap asakan dengan tidak membenarkan tuan rumah melancarkan sebarang percubaan tepat.

Percubaan tepat pertama JDT hadir menerusi sepakan percuma Juan Muniz pada minit ke-32 yang ditepis Yan Junling sebelum Andoni Dorronsoro menafikan peluang Oscar Junior mencari gol pembukaan pada minit ke-42.

Ketika babak pertama seakan berakhir tanpa jaringan, Arif Aiman membuatkan tuan rumah tergamam apabila pemain kebangsaan itu membawa bola dari tepi ke kawasan tengah sebelum melepaskan rembatan yang menewaskan Junling pada minit ke-44.

Shanghai Port hanya memerlukan dua minit untuk mengikat kedudukan sejurus babak kedua bersambung apabila Gustavo Henrique lebih pantas menyambar bola muntah selepas Dorronsoro terlebih dahulu menepis percubaan Willian Pop.

Kegembiraan tuan rumah hanya bertahan tujuh minit selepas serangan balas pantas dilancarkan JDT menemui Arif Aiman yang berseorangan di atas dan dia melepasi kawalan Wei Zhen sebelum menewaskan Junling untuk JDT kembali memimpin perlawanan 2-1.

Sepakan percuma pada minit ke-71 mencetuskan keadaan kelam kabut di depan pintu gol JDT dan kesempatan itu dimanfaatkan Willian untuk meledak gol penyamaan buat Shanghai Port.

sumber: BH

Shanghai Port beroleh peluang keemasan pada minit-minit akhir perlawanan untuk mendapat gol kemenangan namun ketangkasan Dorronsoro menyelamatkan JDT untuk keputusan 2-2 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan.