Apa Itu Sindrom Bangunan Sakit? Mari Fahami Sindrom Ini

Apa Itu Sindrom Bangunan Sakit? Mari Fahami Sindrom Ini

Pernah tak anda bangun pagi dan anda tahu badan anda segar dan sihat? Jadi anda pun lakukan rutin pagi anda sebelum anda ke tempat kerja. Tetapi, apabila anda sampai ke pejabat, anda mula rasa sakit.

Secara tiba-tiba, anda rasa pening kepala, badan anda rasa lesu, mata anda pedih, sesak nafas, anda mula mengalami kegatalan pada kulit, batuk dan selsema. Rasa sakit itu datang tiba-tiba, tetapi bila anda keluar dari pejabat itu, anda mula rasa sihat semula.

Jika anda pernah mempunyai pengalaman seperti yang dinyatakan, ini bermakna yang anda mungkin mengalami Sindrom Bangunan Sakit. Anda pasti tertanya-tanya, apakah maksud sindrom ini, kan? Jadi, perkongsian ini akan memberikan pencerahan kepada anda.

Sindrom Bangunan Sakit

Untuk pengetahuan anda, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia atau lebih dikenali sebagai WHO, Sindrom Bangunan Sakit bermaksud satu keadaan di mana individu yang berada di dalam bangunan mengalami simptom dan rasa tidak selesa tanpa sebab yang jelas.

Maksudnya, apabila anda masuk ke sesebuah bangunan itu, anda terus rasa tidak selesa atau tidak sihat tanpa sebarang sebab. Ia boleh membuat anda rasa musykil kerana anda tahu diri anda masih sihat sebelum anda memasuki bangunan itu.

Punca Berlakunya Sindrom

Terdapat beberapa punca yang mendorong kepada sindrom ini berlaku kepada anda. Ia boleh berlaku sekiranya bangunan yang dimasuki oleh anda mempunyai kualiti udara yang tidak baik (IAQ). Selain itu, ia juga boleh terjadi jika sistem penyaman udara di bangunan itu tidak diselenggara dengan baik.

Seterusnya, terdapat ozon yang terhasil daripada mesin fotostat, pelarut organik dan formaldehyde di udara dalam bangunan tersebut. Kemudian, ada kemungkinan bangunan itu telah dibina menggunakan bahan yang membenarkan mikroorganisma bercambah dan melepaskan wap kimia.

Bangunan yang tidak mempunyai pencahayaan yang cukup juga boleh menyebabkan sindrom ini berlaku. Bukan itu sahaja, malah ia tidak membantu menjamin kesihatan anda sekiranya bangunan itu tidak mempunyai penyelenggaraan dan pembersihan yang teratur.

Tandas yang tidak disanitasi juga boleh mengundang sindrom ini untuk berlaku. Akhir sekali, bangunan yang mempunyai tikus, lipas, kulapuk, bakteria, kulat dan hama juga membolehkan anda untuk mengalami Sindrom Bangunan Sakit ini.

Gejala-Gejala

Tanda dan gejala bagi sindrom ini terbahagi kepada tiga kumpulan, iaitu kumpulan A, B dan C. Bagi kumpulan A, gejala yang akan dialami adalah sakit kepala, loya, kelesuan dan pening. Manakala kumpulan B akan mengalami gejala seperti rasa sesak pada hidung, pembengkakan, rasa gatal pada mata, hidung dan tekak dan simptom subklinikal seperti sakit kepala, lesu dan nausea.

Gejala kumpulan C pula adalah batuk, pernafasan yang pendek, demam menggigit dan rasa lesu setelah memasuki bangunan dan juga mempunyai jangkitan yang didiagnos.

Pencegahan

Sekiranya anda mengalami gejala-gejala yang dinyatakan, anda boleh mengikut langkah-langkah pencegahan ini untuk mencegah sindrom itu daripada berlaku kepada anda.

Pertama sekali, sekiranya bangunan itu milik anda, pastikan anda menyelenggara bangunan dan juga persekitaran dalaman. Jika tidak, anda boleh memberikan cadangan kepada pihak atasan untuk melakukan penyelanggaran tersebut.

Kedua, melantik operator berlesen untuk kerja-kerja pengawalan serangga. Ini dapat mengurangkan kehadiran nyamuk atau serangga perosak yang lain daripada memasuki bangunan.

Ketiga, anda perlu mengamalkan pembersihan berkala untuk mengawal habuk dan kotoran dalaman. Sekiranya anda memilik bangunan itu, anda boleh mengambil tukang cuci sebagai pekerja anda. Jika tidak, anda boleh cadangkan sesi gotong-royong bersama rakan-rakan sepejabat anda.

Seterusnya, anda tidak boleh merokok di dalam bangunan termasuklah rumah anda sendiri. Ini kerana, asap yang dikeluarkan boleh terperap dalam bangunan dan mengakibatkan orang lain menghirup udara yang tidak segar.

Selain itu, bangunan itu harus mempunyai penyelenggaraan sistem pengudaraan berkala oleh syarikat yang cekap dalam tugasan itu. Ini dapat menjamin kebersihan sistem pengudaraan dalam bangunan.

Akhir sekali, anda boleh mengawal pembiakan kulat dengan memastikan tiada kebocoran air dan tiada kawasan yang lembap dalam bangunan. Sekiranya ada kebocoran, anda harus melaporkannya kepada pihak yang sepatutnya bagi mengelak pembiakan kulat.

Harap perkongsian ini dapat memberikan manfaat kepada anda semua.

Gambar: Bernama

Sumber: BERNAMA via X

BACA JUGA: Jangan Jadi Mangsa Penipuan Perkhidmatan Penebusan Tunai Kredit eMADANI – MOF

The post Apa Itu Sindrom Bangunan Sakit? Mari Fahami Sindrom Ini appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*