Badan Peguam ‘Tukang Sibuk’ Dan Selektif Kritik Keputusan DNAA, Kata Zahid

Badan peguam tukang sibuk

Badan Peguam ‘Tukang Sibuk’ Dan Selektif Kritik Keputusan DNAA, Kata Zahid

KUALA LUMPUR, 11 Jan (Bernama) — Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan Badan Peguam Malaysia bersifat selektif ketika mengkritik keputusan Peguam Negara (AG) memberhentikan prosiding kes jenayah terhadap beliau pada 4 Sept lepas.

Menurut Ahmad Zahid, pemohon (Badan Peguam Malaysia) hanya berdiam diri, takut atau bisu apabila keputusan sama dibuat oleh AG terdahulu dalam kapasiti sebagai Pendakwa Raya yang melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) atau melepas dan membebaskan beberapa ahli politik lain.

“Pemohon adalah semata-mata ‘tukang sibuk’ (busy body) dalam kes ini. Hanya pihak yang terjejas atau terkesan dengan teruk dengan keputusan Pendakwa Raya yang boleh memohon suatu kebenaran untuk memfailkan permohonan semakan kehakiman bersabit kes ini.

“Saya menegaskan tindakan pemohon memfailkan permohonan ini adalah bersifat selektif, tidak bertanggungjawab dan berat sebelah.

“Pemohon cuba menggambarkan suatu imej sebagai juara keadilan kepada masyarakat dengan mempersoal keputusan responden pertama (AG) dan mahkamah yang membenarkan suatu DNAA bersabit pertuduhan-pertuduhan jenayah melibatkan kes-kes saya,” katanya menerusi afidavit difailkan pada 4 Jan bagi membantah permohonan kebenaran semakan kehakiman oleh Badan Peguam.

Mahkamah Tinggi sebelum ini telah melepas tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi selepas pendakwaan memaklumkan Jabatan Peguam Negara ingin memberhentikan prosiding terhadap beliau.

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata keputusan AG tidak boleh dicabar melalui permohonan semakan kehakiman dan pemohon menunjukkan kelakuan tidak rasional dalam mempersoalkan kuasa-kuasa diberikan kepada AG yang menjalankan tugas sebagai Pendakwa Raya selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

Ahmad Zahid, selaku responden kedua berkata beliau dinasihati oleh peguam dan percaya bahawa keputusan Peguam Negara memohon perintah DNAA termaktub sepenuhnya dalam kuasa prerogatif dan kuasa selaku Pendakwa Raya di bawah Artikel 145 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata Badan Peguam juga tidak mempunyai apa-apa keupayaan undang-undang atau locus standi bagi memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman.

Dalam prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Amarjeet Singh hari ini, Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly mewakili Peguam Negara berkata pihaknya membantah permohonan Badan Peguam antaranya atas alasan peruntukan Seksyen 254 (1) Kanun Tatacara Jenayah membenarkan Pendakwa Raya memohon bagi DNAA selepas peringkat prima facie.

BACA: Tak Ada Kaitan Dengan Musang, Ini Asal Usul Nama Durian Musang King Yang Ramai Tak Tahu

Ahmad Hanir berkata peruntukan undang-undang itu menyatakan bahawa Pendakwa Raya boleh mengemukakan permohonan DNAA selagi mahkamah tidak membuat keputusan.

“Tiada had masa dinyatakan bagi Pendakwa Raya berbuat demikian (kemuka permohonan DNAA),” katanya dan menambah Badan Peguam tidak memenuhi keperluan undang-undang bagi mengemukakan permohonan terbabit dan gagal membuktikan bahawa tindakan AG itu tidak rasional dan tidak sah.

Sementara itu, peguam Datuk Ambiga Sreenevasan yang mewakili Badan Peguam memaklumkan kepada mahkamah, pihaknya akan merujuk persoalan perlembagaan berhubung permohonan kebenaran itu ke Mahkamah Persekutuan.

Mahkamah kemudian menetapkan 6 Feb ini untuk pengurusan kes.

Badan Peguam yang memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman pada 2 Dis lepas, antaranya memohon perintah supaya keputusan yang dibuat oleh Peguam Negara dibatalkan selain memohon deklarasi bahawa keputusan itu adalah tidak sah.

Sumber: BERNAMA

The post Badan Peguam ‘Tukang Sibuk’ Dan Selektif Kritik Keputusan DNAA, Kata Zahid appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*