Bijan Kini Disenarai Sebagai Makanan Utama Yang Menyebabkan Alahan – FDA

Bijan Kini Disenarai Sebagai Makanan Utama Yang Menyebabkan Alahan – FDA

Bijan secara rasmi telah dimasukkan ke dalam senarai alahan makanan utama yang perlu diletakkan dalam label bungkusan makanan mulai 1 Januari 2023.

Memetik laporan CNN, perubahan yang dilakukan oleh Akta Keselamatan, Rawatan, Pendidikan dan Penyelidikan Alergi Makanan (FASTER) itu telah ditandatangani pada April 2021 yang lalu untuk dijadikan sebagai undang-undang baharu.

Menurut Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA), mereka telah menyemak keperluan selama beberapa tahun untuk meletakkan biji bijan dalam senarai alahan makanan utama selain susu, telur, ikan, makanan laut, kacang pokok, kacang tanah, gandum dan kacang soya.

Ini bermakna makanan yang mengandungi bijan akan tertakluk pada keperluan kawal selia alergen makanan tertentu termasuk pelabelan dan pembungkusan makanan.

Menurut seorang pakar perubatan di Los Angeles, Dr. Robert Eitches, alahan terhadap bijan dapat memberi kesan kepada semua peringkat umur, malah ia boleh menunjukkan simptom seperti batuk, gatal tekak, muntah, cirit-birit, ruam mulut, sesak nafas dan penurunan tekanan darah.

FDA juga telah menjalankan pemeriksaaan dan persampelan produk makanan bagi memeriksa bahawa alergen makanan utama dilabelkan dengan betul pada produk makanan.

Pun begitu, sebelum Akta FASTER ditubuhkan, FDA telah mengesyorkan pengeluar makanan supaya menyenaraikan bijan sebagai ramuan pada label makanan secara sukarela pada bulan November 2020.

Namun, ia bukan satu keperluan sebaliknya ia bertujuan untuk membantu orang yang mengalami alahan bijan supaya dapat mengenal pasti makanan yang mungkin mengandungi biji bijan tersebut.

Sementara itu, FDA turut mengingatkan pengguna supaya menyemak terlebih dahulu dengan pengilang jika mereka tidak pasti sama ada produk makanan yang dibeli mengandungi bijan ataupun sebaliknya.

“Kami mengingatkan pengguna bahawa makanan yang sudah berada di dalam pasaran sebelum 2023, termasuk yang berada di kedai runcit, tidak perlu dialihkan dari kedai atau dilabel semula untuk mengisytiharkan bijan sebagai alergen baharu,” kata FDA dalam satu kenyataan pada 15 Disember lalu.

Dalam pada itu, Dr. Robert Eitches juga menasihatkan golongan yang mempunyai alahan kepada bijan supaya berjumpa dengan pakar jika menghadapi sebarang situasi kecemasan.

Jelasnya, jika tindak balas terhadap alahan berlaku, mereka perlu bersedia dengan sebarang ubat dan segera mendapatkan bantuan perubatan.

Sumber: CNN

The post Bijan Kini Disenarai Sebagai Makanan Utama Yang Menyebabkan Alahan – FDA appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*