Caj RM5 untuk mendidik, bukan menghukum – MPM

LUMUT – Caj RM5 yang dikenakan kepada penduduk Manjung yang mahu bil cukai taksiran bercetak di pejabat Majlis Perbandaran Manjung (MPM) bukan bersifat menghukum atau denda sebaliknya lebih kepada usaha ‘mendidik’ pemilik premis.

Yang Dipertua MPM, Syamsul Hazeman Md. Salleh berkata, ia kerana pihaknya menyediakan tiga kaedah yang membolehkan penduduk mendapatkan bil cukai taksiran secara percuma tanpa perlu penyediaan bil bercetak.

Jelasnya, tiga kaedah itu ialah melakukan pembayaran dan mendapatkan bil tersebut melalui aplikasi myManjung dan menghantar pesanan ke WhatsApp di talian 011-10729765 atau 011-10929765 bagi mendapatkan bil dalam bentuk Format Dokumen Mudah Alih (PDF).

Beliau memaklumkan, pelanggan juga boleh datang ke pejabat MPM dan menunjukkan MyKad untuk membuat bayaran seterusnya diberikan maklumat asas berhubung akaun cukai taksiran mereka.

“Terdapat isu yang kini sedang hangat diperkatakan di daerah ini iaitu caj yang dikenakan kepada pemilik harta yang ingin membuat cetakan bil di MPM.

“Namun begitu, informasi berkaitan caj bil cetakan ini tidak disampaikan dengan jelas di mana pembayar cukai taksiran mempunyai pilihan lain yang percuma tanpa perlu membayar RM5 iaitu menggunakan tiga kaedah tersebut.

“Pastinya rakyat yang bijak akan memilih untuk menggunakan kaedah percuma untuk membuat pembayaran malah dapat turut menjaga alam sekitar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jumaat lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Astaka, Jason Ng Thien Yeong, dan ADUN Pantai Remis, Wong May Ing, dalam kenyataan bersama menggesa MPM mengkaji semula keputusannya mengenakan caj sebanyak RM5 kepada orang awam yang ingin mendapatkan cetakan bil cukai pintu bermula 1 Januari lalu. – KOSMO! ONLINE

The post Caj RM5 untuk mendidik, bukan menghukum – MPM appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*