Jangan Keliru, Ini Beza Mentega Dan Marjerin

beza mentega marjerin

Jangan Keliru, Ini Beza Mentega Dan Marjerin

Dalam dunia kulinari, terdapat dua bahan masakan yang sering menjadi bahan perdebatan dalam kalangan warga maya. Disebabkan kedua-duanya memiliki bentuk dan harga yang lebih kurang sama, ramai yang menganggap mentega dan marjerin adalah benda yang sama.

Malah, ada orang yang kerap menggantikan mentega dengan marjerin bagi apa-apa resipi atau sebaliknya.

Sungguhpun begitu, kedua-dua bahan masakan ini sebenarnya dua benda yang berlainan dan menggunakan ramuan yang berbeza.

Apa beza mentega dan marjerin?

Mentega atau dikenali sebagai butter merupakan sejenis bahan masakan tradisional yang dibuat daripada krim yang diaduk. Bahan ini sering digunakan sebagai lemak untuk menggoreng, sapuan pada roti atau komponen untuk kuih, kek dan pastri.

Sebagai salah satu sumber lemak susu yang pekat, komposisi mentega ini kebanyakannya terdiri daripada lemak tepu.

Sungguhpun begitu, terdapat banyak kajian yang melihat hubungkait antara kadar pengambilan lemak tepu dengan peningkatan risiko penyakit jantung pada era 1970-an.

Oleh sebab itu, pihak berkuasa kesihatan mula memberikan saranan kepada orang ramai untuk mengurangkan pengambilan mentega pada era tersebut.

Gambar: AFP

Marjerin pula adalah sejenis makanan diproses yang direka untuk memiliki rasa dan rupa seakan-akan mentega. Ia telah disarankan sebagai pengganti bahan makanan yang lebih sihat untuk jantung.

Kebanyakan marjerin moden diperbuat daripada minyak sayuran, yang mana mengandungi lemak tidak tepu. Lemak jenis ini dikatakan boleh merendahkan paras kolestrol ‘jahat’ jika dibandingkan dengan lemak tepu.

Disebabkan minyak sayuran bersifat cecair apabila berada dalam suhu bilik, saintis makanan telah menukar struktur kimia bahan tersebut untuk menjadi bentuk pepejal, sama seperti mentega.

Dalam beberapa dekad lalu, satu proses yang dikenali sebagai hidrogenasi digunakan untuk mengeraskan minyak sayuran di dalam majerin.

Hidrogenasi bukan sekadar meningkatkan kandungan lemak tepu pada minyak sayuran, malah kandungan lemak trans turut terhasil sebagai produk sampingan.

Proses yang lebih terkini yang dipanggil interesterification pula bertujuan untuk mencapai hasil yang sama tanpa membentuk sebarang lemak trans.

Selain itu, kedua-dua jenis marjerin itu mungkin mengandungi beberapa aditif makanan, termasuk emulsifier dan pewarna.

Secara ringkasnya, marjerin merupakan makanan diproses yang diperbuat daripada minyak sayuran. Manakala, mentega secara asasnya diperbuat daripada lemak tenusu pekat.

Antara mentega dengan marjerin, mana yang lebih sihat?

Mentega

Menurut Hello Doktor, mentega mengandungi beberapa jenis nutrien yang mungkin tidak dapat dijumpai dalam makanan lain.

Misalnya mentega yang diperbuat daripada susu lembu yang diberi makan rumput mempunyai kandungan vitamin K2.

“Ia dikaitkan dengan fungsinya yang menjadikan kesihatan tulang semakin meningkat.

“Nutrien yang terkandung dalam mentega sememangnya bergantung kepada diet atau jenis pemakanan lembu tersebut.Ada sesetengah lembu yang diberi makan rumput, manakala ada sesetengah yang lain diberi makan dengan makanan yang berasaskan bijirin.

“Mentega yang dihasilkan daripada susu lembu yang diberi makan rumput adalah lebih bernutrisi berbanding jenis yang lain,” kata Hello Doktor.

Di samping itu, ia turut mengandungi Conjugated Linoleic Acid (CLA) yang mempunyai ciri antikanser, selain membantu mengurangkan peratusan lemak dalam tubuh badan.

Manakala, butirat iaitu asid lemak rantaian pendek dalam mentega jenis ini boleh melawan keradangan, memperbaiki kesihatan pencernaan dan membantu mengelakkan pertambahan berat badan.

Bagaimanapun, mentega juga turut mengandungi lemak tepu dan kolesterol yang tinggi. Difahamkan, terdapat 50% kandungan lemak tepu yang terkandung dalam mentega. Baki 50% lagi adalah kandungan air dan lemak tidak tepu.

Gambar: Bernama

Marjerin

Bagi golongan tertentu, marjerin kadangkala dianggap sebagai pilihan terbaik berbanding mentega kerana ia mengandungi lemak tidak tepu yang lebih sihat berbanding lemak tepu yang banyak dalam mentega.

Contohnya, marjerin yang dihasilkan daripada minyak kacang soya dianggarkan mengandungi sekitar 20% lemak tidak tepu.

Lemak tidak tepu ini tidak sama seperti lemak tepu kerana ia sejenis lemak yang sihat dan mempunyai manfaat terhadap kesihatan jantung.

Malah, sesetengah marjerin juga diperkaya dengan kandungan phytosterols yang membantu mengurangkan kolesterol jahat, tetapi perlu diingatkan ia juga mungkin mengurangkan kolesterol baik dalam badan.

Sungguhpun begitu, saranan ini juga bersifat sangat kontroversial kerana marjerin mengandungi lebih banyak aditif dan bersifat sintetik sepenuhnya jika dibandingkan dengan mentega yang bersifat lebih semula jadi.

Seperti yang dinyatakan di atas tadi, tidak semua jenis marjerin adalah menyihatkan disebabkan oleh kandungan lemak trans di dalamnya.

Semakin beku marjerin terbabit, maka semakin tinggilah lemak trans di dalamnya. Justeru, anda digalakkan untuk mencari marjerin yang kurang atau tidak mengandungi lemak trans.

Kesimpulannya, pengguna perlu mengambil mentega ataupun marjerin dalam kuantiti yang sepatutnya kerana masing-masing mempunyai pro dan kontra yang tersendiri.

BACA: Jadual Waktu Berbuka & Imsak Di Seluruh Malaysia 2024

Sumber: Hello Doktor, Healthline, News Medical

The post Jangan Keliru, Ini Beza Mentega Dan Marjerin appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*