Lelaki maut kereta dipandu bertembung pacuan empat roda

PASIR SALAK – Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya bertembung sebuah pacuan empat roda di Kilometer 15, Jalan Kampung Gajah-Tanjung Tualang di sini petang tadi.

Mangsa, Mohamad Sabfarie Talib, 49, yang memandu Proton Saga maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Dalam kejadian sama, dua penumpang kereta iaitu adik lelaki mangsa dan rakan berusia lingkungan 30-an mengalami kecederaan patah tulang rusuk.

Difahamkan, kemalangan berlaku ketika mangsa yang dalam perjalanan dari arah Batu Gajah ke Kampung Gajah itu telah bertembung sebuah pacuan empat roda jenis Isuzu DMax dipandu lelaki berusia 30 tahun.

Nahas menyebabkan pemandu dan dua penumpang kereta cedera parah di mana seorang daripadanya disahkan maut manakala pemandu kenderaan pacuan empat roda tidak cedera.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampung Gajah diatur gerak ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat pada pukul 3.41 petang.

Katanya, setibanya di lokasi, didapati kemalangan membabitkan dua buah kenderaan yang bertembung secara berhadapan.

“Pemandu kereta didapati tersepit dan kerja-kerja menyelamat segera dilakukan. Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.

“Mangsa yang cedera diberikan rawatan awal dan dibawa oleh ambulans ke Hospital Changkat Melintang. Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Lelaki maut kereta dipandu bertembung pacuan empat roda appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*