Naufal Dengar Suara Panggil Nama, Minum Air Parit Untuk Hidup – Bapa

naufal suara hidup minum parit

Naufal Dengar Suara Panggil Nama, Minum Air Parit Untuk Hidup – Bapa

IPOH, 25 Jun (Bernama) — Pelajar tahfiz yang ditemukan semalam selepas tiga hari dilaporkan hilang di kawasan kebun getah di Kampung Tanjong Sejarah, Kampung Tawai, Gerik mendakwa terdengar suara orang memanggil namanya, namun tidak nampak sesiapa.

Berdasarkan kisah yang diceritakan Muhammad Naufal Adzimi, bapanya, Mohd Harriz Muhamed, 46, berkata anaknya yang berusia 17 tahun itu berada di kawasan sekitar tetapi tidak berupaya untuk menjumpai pasukan mencari dan menyelamat (SAR) sepanjang kehilangannya.

“Muhammad Naufal Adzimi juga tidak makan selama tiga hari dan hanya minum air parit yang terdapat di kawasan kebun itu,” kata Penolong Jurutera Majlis Daerah Gerik itu.

Mohd Harriz berkata ketika kejadian, anak kedua daripada lima beradik itu keluar dari rumah pada awal pagi untuk menunaikan solat subuh di Masjid Jamek Gerik sebelum hilang dan tidak pulang.

BACA JUGA: Pasukan SAR Laung Azan Sebelum Jumpa Naufal Dalam Keadaan Selamat

Beliau berkata anaknya memberitahu ketika menunggang motosikal seorang diri, tiba-tiba dia hilang kawalan sebelum tidak sedarkan diri.

Mohd Harriz berkata usaha pencarian Muhammad Naufal Adzimi hanya menemukan motosikal ditungganginya di kawasan kebun berkenaan sebelum beliau melaporkan kehilangan anaknya itu kepada pihak polis.

Menurutnya, Muhammad Naufal Adzimi yang mengalami beberapa kesan calar pada muka dan badannya kini masih menerima rawatan di Hospital Gerik dan berada dalam keadaan stabil.

Semalam, pasukan SAR melaungkan azan sebelum menemukan pelajar yang dikatakan mengalami kecelaruan minda itu dalam keadaan selamat pada pukul 10.49 pagi kira-kira dua kilometer dari lokasi motosikal yang ditinggalkan mangsa ditemukan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak Sabarozi Nor Ahmad dilaporkan berkata lokasi berkenaan sebelum ini telah dibuat pencarian, namun kemungkinan situasi mangsa yang bergerak menyebabkan dia tidak dijumpai sebelum ini.

Terdahulu, operasi hari keempat diteruskan semalam dengan kekuatan anggota 94 orang termasuk polis, unit K9 bomba, Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan orang awam.

Sumber: BERNAMA 

The post Naufal Dengar Suara Panggil Nama, Minum Air Parit Untuk Hidup – Bapa appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*