Pan Gon ada sebab pilih lawan Hong Kong, Turkmenistan

PETALING JAYA: Harimau Malaya memilih berdepan Hong Kong dan Turkmenistan dalam dua aksi persahabatan bulan depan, dijadualkan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Johor Bahru.

Pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan Gon mengakui berdepan satu pasukan di ranking lebih tinggi dan satu lagi pasukan setaraf Harimau Malaya dalam aksi persahabatan itu adalah satu strategi bagi memastikan Harimau Malaya kekal berada dalam kelompok 25 terbaik pasukan Asia.

“Saya percaya ini adalah strategi yang bagus kerana jika kita menang satu perlawanan dan tewas satu lagi aksi pun, ia masih dianggap bagus untuk mengekalkan ranking semasa,” katanya.

Jurulatih dari Korea Selatan itu menjelaskan, kedudukan dalam kelompok itu penting bagi mengelak Harimau Malaya terpaksa bermain dalam pusi­ngan play-off kelayakan Piala Dunia 2026, hujung tahun ini.

“Buat masa ini kita berada di ranking ke-25 negara terbaik Asia manakala Hong Kong pula di tempat ke-26. Jika kita mahu elak daripada aksi playoff kelayakan Piala Dunia 2026, kita perlu kekalkan kedudukan itu.

“Kekuatan Hong Kong seimbang dan kali ini difahamkan mereka bersedia untuk menurunkan barisan terbaik untuk menentang Harimau Malaya nanti.

“Malah, difahamkan mereka akan memanggil pemain yang beraksi di Liga China yang tidak dibawa ketika tewas kepada Malaysia tahun lalu.

“Jadi saya jangka saingan sengit akan diraih dan pemain akan dapat satu pengalaman terbaik daripada aksi itu nanti “ katanya pada sidang media di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), di sini, semalam.

Kedua-dua pasukan itu pernah tewas kepada skuad kebangsaan pada tahun lalu.

Harimau Malaya yang meng­huni ranking ke-145, tidak berdepan masalah menewaskan Turkmenistan (ranking ke-135) 3-1 dalam aksi kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Jun lalu.

Hong Kong yang berada satu ranking dibawah Malaysia, turut tewas 0-2 dalam aksi persahabatan yang berlangsung di venue sama ketika di awal pelantikan Pan Gon sebagai jurulatih Malaysia, tahun lalu.-UTUSAN

The post Pan Gon ada sebab pilih lawan Hong Kong, Turkmenistan appeared first on Utusan Malaysia.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*