Pecah Tanah Di Cyberjaya, Infinaxis Bangunkan Pusat Data Pertama Di Asia Tenggara

Infinaxis Bangunkan Pusat Data

Pecah Tanah Di Cyberjaya, Infinaxis Bangunkan Pusat Data Pertama Di Asia Tenggara

Kuala Lumpur, 25 Oktober 2023  Pusat Data Infinaxis (Infinaxis), pembangun dan pengendali pusat data, telah memulakan pembinaan pusat data internet sulungnya di Cyberjaya, yang turut dikenali sebagai ‘Silicon Valley of Malaysia’. Projek pembinaan berkeluasan 17,000 meter persegi tersebut dijangka siap menjelang suku kedua 2025. Ia akan dilengkapi kemudahan canggih seperti 10 ruang data, dengan kepadatan kuasa sehingga 80kW di setiap rak pelayan rangkaian dan mampu mengendalikan kapasiti teknologi maklumat melebihi 12 MW.

Pusat data tersebut akan menawarkan perkhidmatan terbaik yang akan memainkan peranan penting bagi menyokong Malaysia ke arah transformasi digital, menjadikan ianya sesuai untuk penyedia pengkomputeran awan berskala besar, perkhidmatan Kecerdasan Buatan (AI) serta syarikat-syarikat gergasi. Infinaxis telah mendapatkan penyewa bagi pusat data ini, selain turut mendapatkan plot tanah berdekatan yang akan digunakan bagi tujuan pembangunan dan pengembangan pusat data tersebut. Pasaran pusat data Malaysia dijangka mengalami pertumbuhan purata tahunan sebanyak kira-kira 7% dari tahun 2022 hingga 2027, dan dijangkakan mencapai nilai melebihi $2 bilion menjelang tamat tempoh ramalan. Pertumbuhan ini didorong oleh kenaikan permintaan terhadap pusat data di negara ini, berikutan peningkatan penggunaan internet serta penghasilan jumlah data yang tinggi oleh pelbagai sektor. Pusat Data Infinaxis dijangka bakal menyumbang kepada pasaran tempatan yang sedang berkembang pesat ini.

Infinaxis Bangunkan Pusat Data

“Misi kami adalah untuk memenuhi keperluan dan permintaan pengguna yang semakin meningkat serta menyokong Asia Tenggara dalam pengukuhan keupayaan dan kepakaran bagi bidang pengurusan data dan teknologi digital. Rantau ini merupakan salah satu kuasa ekonomi terbesar di dunia, jadi, infrastruktur digital bagi tahun-tahun yang mendatang amatlah penting untuk pertumbuhannya. Hari ini, kami di sini untuk memulakan langkah pertama ke arah pusat data pertama kami, menandakan permulaan perjalanan kami untuk menerajui inovasi, usaha-usaha kelestarian, dan perkembangan kami di rantau ini bagi memenuhi permintaan pengguna. Kemudahan bertaraf antarabangsa ini pastinya akan menjadi menjadi tonggak utama dalam matlamat ekonomi digital Malaysia,” kata Zahri Mirza, Ketua Pegawai Eksekutif Infinaxis, di Majlis Pecah Tanah untuk projek pusat data baharu mereka di Cyberjaya.

Majlis tersebut telah disempurnakan oleh YB Teo Nie Ching, Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Malaysia (KKD), dan turut dihadiri oleh Kenneth Gaw, Presiden dan Pengurus Utama Gaw Capital Partners, Najihah Abas, Pengarah Eksekutif, Penggalakan Pelaburan, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), serta Pengarah Pembolehan Digital, Wan Murdani Wan Mohamad, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).
Mengulas mengenai projek tersebut, YB Teo Nie Ching, Timbalan Menteri KKD berkata, “Pelaburan Infinaxis adalah sejajar dengan peningkatan kemasukan pelaburan langsung asing dalam bidang ini, terutamanya dengan perkembangan di Cyberjaya. Gabungan pengalaman industri dan pelaksanaan Infinaxis ke dalam pendekatan pusat data tempatan adalah satu usaha yang amat dinanti-nantikan. Infrastruktur dan sokongan teknikal seperti ini akan menjadi asas pertumbuhan dalam sektor ini. Saya percaya, pusat data bertaraf dunia seperti ini akan memainkan peranan penting bagi membantu pemain-pemain industri utama dan juga negara untuk menuju ke tahap yang lebih tinggi.”

Infinaxis Bangunkan Pusat Data

Pusat Data Infinaxis yang sedang dibangunkan merupakan sebuah bangunan 7 tingkat yang akan memuatkan sehingga 1830 kabinet pelayan dalam 10 ruang data. Bangunan ini dicipta dengan gabungan reka bentuk cekap tenaga, sistem penyejukan yang terbaik serta teknologi keselamatan tercanggih. Selain itu, setiap rak pelayan rangkaian yang terdapat di pusat ini dilengkapi dengan tenaga elektrik fleksibel, dari serendah 6kW hingga lebih 20kW. Bangunan ini juga akan menggabungkan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan menggunapakai ciri-ciri kelestarian dari semasa ke semasa bagi meningkatkan nilai jangka masa panjangnya. Infinaxis merancang untuk menjadi pengendali pusat data yang memfokuskan kepada pasaran utama di Asia Tenggara, dengan Malaysia sebagai lokasi pertamanya.

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) turut merakamkan ucapan tahniah kepada Infinaxis atas pencapaian mereka. “Pelaburan Infinaxis membuktikan keyakinan pelabur terhadap Malaysia sebagai hab pusat data pilihan di rantau ini. Ini menunjukkan kekuatan Malaysia dalam ekonomi digital, dan peranan penting Infinaxis dalam memupuk pertumbuhan ekonomi yang mampan dan menjana peluang pekerjaan dengan kemahiran digital. Usaha ini sejajar dengan aspirasi Malaysia yang digariskan dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan Pelan Tindakan MyDigital, seterusnya mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia dalam era digital.”

Ts. Mahadhir Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC turut mengalu-alukan pelaburan Infinaxis ke dalam komuniti ekonomi digital Malaysia yang sedang berkembang pesat dengan mengambil kira potensi impak projek tersebut terhadap industri tempatan. Beliau berkata, “Sejajar dengan inisiatif Malaysia Digital (MD), terdapat keperluan mendesak untuk meningkatkan kapasiti infrastruktur dalam ekosistem digital negara. Oleh itu, kami memberikan sokongan sepenuhnya kepada projek ini, yang akan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab digital pilihan ASEAN. Dengan menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi digital negara melalui MD – inisiatif strategik nasional dan program-program PEMANGKIN – kita akan mencipta satu ekosistem yang memacu kedudukan Malaysia dalam pelaburan bernilai tinggi. Kami amat teruja dengan projek ini dan juga peningkatan kebolehan dan keupayaan yang bakal ditawarkan oleh Infinaxis.”

Infinaxis dan projek pembangunan pusat data di seluruh Asia Tenggara merupakan hasil usaha sama yang diumumkan pada awal tahun ini, antara firma ekuiti persendirian hartanah, GawCapital Partners dan platform  pelaburan hartanah persendirian A3 Capital. Kerjasama tersebut bertujuan untuk melabur dalam pelaburan lapangan hijau dan juga aset pusat data berprestasi rendah di seluruh pasaran utama di rantau Asia Tenggara bagi mencipta portfolio aset pusat data dengan pensijilan Peringkat-3.

“Cyberjaya, Malaysia, merupakan lambang inovasi dan kemajuan teknologi. Kami amat berbangga kerana berpeluang untuk menyumbang kepada perkembangannya. Sebagai pelabur, kami bukan sekadar menyuntik modal, tetapi kami juga akan turut menjalinkan kerjasama strategik dengan bandar ini dan juga dengan Infinaxis, sebuah organisasi yang memberi tumpuan terhadap rantau ASEAN, bagi memacu inovasi dan kemajuan,” jelas Kenny Gaw, Presiden dan Pengurus Utama Gaw Capital Partners.

Untuk maklumat lanjut mengenai Infinaxis, sila layari https://infinaxis.net/

The post Pecah Tanah Di Cyberjaya, Infinaxis Bangunkan Pusat Data Pertama Di Asia Tenggara appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*