Pihak Luar Tiada Hak Campuri Urusan Kedaulatan Negara – JIM

pihak luar tiada hak campuri kedaulatan negara

Pihak Luar Tiada Hak Campuri Urusan Kedaulatan Negara – JIM

KUALA LUMPUR — Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Sri Khairul Dzaimee Daud hari ini menegaskan bahawa mana-mana pihak luar tiada hak dalam mencampuri urusan kedaulatan dan undang-undang negara.

Beliau berkata sedemikian bagi merujuk kepada serbuan yang dilakukan terhadap petempatan warga asing di Nilai Spring, Negeri Sembilan baru-baru ini yang mendapat reaksi dari sebuah Organisasi Bukan Kerajaan (NGO).

Menerusi satu laporan portal berita, NGO tersebut mengatakan bahawa petempatan warga asing itu tidak haram.

Menurut Khairul, hanya Jabatan Imigresen Malaysia  (JIM) sahaja mempunyai kuasa untuk membuat pengeluaran Visa dan Pas kepada warganegara asing untuk tinggal dan bekerja di negara ini.

“Kedutaan asing tidak mempunyai kuasa mengeluarkan apa jua bentuk Pas bagi membenarkan rakyat mereka menetap di Malaysia walaupun untuk tempoh sementara,” katanya.

BACA JUGA: Gempa Bumi Turkiye: Istana Gaziantep Berusia 2,200 Tahun Runtuh

Tambah Khairul, fakta itu tidak boleh disangkal oleh mana-mana pihak.

“Mereka yang ditahan dalam operasi bersepadu ini adalah Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).

“Tiada mana-mana pihak yang boleh mempersoalkan kewajaran JIM melaksanakan operasi membenteras PATI kerana ini adalah tugas hakiki Jabatan ini,” jelasnya lagi.

Tegasnya lagi, rakyat Malaysia juga tidak terkecuali dikenakan hukuman oleh pihak berkuasa negara luar apabila didapati melanggar undang-undang imigresen negara berkenaan.

Justeru, Khairul menggesa semua pihak hendaklah menghormati kedaulatan undang-undang sesebuah negara.

Terdahulu, JIM Negeri Sembilan dalam satu Operasi Penguatkuasaan Bersepadu telah menyerbu petempatan warga asing itu pada 1 Februari.

Memetik laporan Bernama, rakyat Indonesia yang ditahan menerusi operasi penguatkuasaan itu dipercayai tidak berniat untuk pulang ke negara asal.

Mereka sebaliknya ingin terus berada di negara ini walaupun tanpa dokumen sah.

Dalam operasi tersebut, JIM dilaporkan berjaya menahan seramai 67 orang warga Indonesia berikutan tidak memiliki dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan lain-lain kesalahan.

Ia melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Sementara itu, tinjauan Bernama di kawasan petempatan tersebut mendapati bahawa ia telah dimusnahkan untuk mengelakkan mereka kembali ke sana.

Sumber: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM)

The post Pihak Luar Tiada Hak Campuri Urusan Kedaulatan Negara – JIM appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*