Projek Jana Wibawa: Pengarah Syarikat Didakwa Minta, Terima Rasuah RM12.87 Juta

rasuah jana wibawa

Projek Jana Wibawa: Pengarah Syarikat Didakwa Minta, Terima Rasuah RM12.87 Juta

JOHOR BAHRU, 22 Feb (Bernama) — Seorang pengarah syarikat perabot mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas sembilan pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM12.87 juta berhubung projek Jana Wibawa antara Julai 2021 hingga November tahun lepas.

Bagi dua pertuduhan, tertuduh, 65, didakwa meminta suapan daripada seorang individu berjumlah RM11.37 juta iaitu 10 peratus daripada harga kontrak bagi tender projek menaik taraf jalan pintasan dari Jalan Sawah Baru ke Tenang Stesen, Segamat bernilai RM39.75 juta dan projek membina jalan dari Kampung Belukar Durian ke Persimpangan Felda Waha, Sedili, Kota Tinggi bernilai RM74 juta.

Perbuatan yang didakwa dilakukan di pejabat di Jalan Majidi, Muar antara Julai 2021 dan Jun tahun lepas itu, adalah sebagai upah membantu syarikat (A) mendapatkan projek itu dan sebagai dorongan untuk bersetuju bahawa syarikat (B) dilantik sebagai subkontraktor bagi projek tersebut.

Bagi tujuh pertuduhan lagi, bapa empat anak itu didakwa menerima suapan daripada dua individu berjumlah RM1.5 juta sebagai upah membantu syarikat (A) mendapatkan projek menaik taraf jalan pintasan berkenaan dan dorongan untuk bersetuju bahawa syarikat (B) dilantik sebagai subkontraktor bagi membina jalan tersebut.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat di Kawasan Perindustrian Pagoh, Muar antara 20 Ogos 2021 hingga 15 Nov tahun lepas.

Bagi kesemua pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau denda RM10,000 atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail membenarkan tertuduh diikat jamin RM500,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin warga tempatan dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 17 Mei depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pengarah II, Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM, Ahmad Akram Gharib, manakala tertuduh diwakili peguam Cains Tan.

BACA: Sekejap Je, Ini Cara Betul “Defrost” Ayam Beku Dari Peti Sejuk

Sumber: BERNAMA

The post Projek Jana Wibawa: Pengarah Syarikat Didakwa Minta, Terima Rasuah RM12.87 Juta appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*