Puteri UMNO penentu untuk meremajakan parti

PETALING JAYA – Puteri UMNO menjadi penentu trend dalam meremajakan parti tersebut untuk terus kekal relevan dalam kalangan anak muda.

Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan berkata, kekalahan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 lepas sememangnya mengecewakan namun tetap akur dengan pilihan rakyat.

Jelasnya, kerelevanan UMNO bergantung kepada tiga faktor penting iaitu yang pertama, prestasi kerajaan hari ini dan pemimpinnya untuk memastikan parti ini menjadi lebih baik dari tahun-tahun yang lepas.

“Rakan-rakan kita (pemimpin UMNO) dalam kerajaan perlu memainkan peranan yang penting kerana setiap tingkah laku dan gerak kerja mereka adalah cerminan kepada UMNO.

“Rakyat menunggu langkah-langkah untuk memperbaiki keadaan sekarang bagi menambah kesejahteraan rakyat. Jadi mereka perlu jadi bijak dan nampak bijak serta perlu bekerja keras dan nampak seperti bekerja keras,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ucapan dasar pada Perhimpunan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini.

Tambah Zahida, faktor kedua bergantung kepada usaha untuk mengubah tanggapan negatif masyarakat, khususnya anak muda terhadap UMNO seperti yang diuar-uarkan oleh parti lain.

Selain itu katanya, dalam memastikan UMNO terus relevan parti perlu meneliti semula impak yang boleh diberikan di dalam Pilihan Raya Negeri akan datang.

“‘Askar media sosial perlu diperkemaskan bagi mengubah pemikiran anak muda bagi memberi keseimbangan dalam negeri-negeri yang menjadi sasaran UMNO.

“Akademi dan institut UMNO perlu ditubuh dengan segera kerana ini bukan idea baru malah sudah lama diperkatakan, tetapi masih belum berjalan,” ujarnya.

Zahida menambah, tanpa UMNO, kita tidak dapat melahirkan pemimpin yang serius dalam memperkatakan tentang ekonomi, tuntutan undang-undang, keselamatan, alam sekitar dan isu-isu yang semakin rumit dalam negara kita. – KOSMO! ONLINE

The post Puteri UMNO penentu untuk meremajakan parti appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*