Boleh Ke Buat Ibadah Korban Bagi Pihak Orang Lain Tanpa Izin? Ini Jawapan Mufti Wilayah

korban bagi pihak orang lain

Boleh Ke Buat Ibadah Korban Bagi Pihak Orang Lain Tanpa Izin? Ini Jawapan Mufti Wilayah

Hari Raya Aidiladha atau lebih dikenali sebagai ‘Raya Korban’ merupakan hari umat Islam melakukan ibadah korban. Ia bersempena memperingati peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim dan anaknya.

Lebih kurang seminggu dari sekarang pada 10 Zulhijjah, seluruh umat Islam bakal menyambut ibadah ini. Ibadah korban amat digalakkan untuk dilaksanakan bagi mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Walau bagaimanapun, timbul persoalan adakah seseorang boleh mengerjakan ibadah korban bagi pihak orang lain tanpa sebarang makluman dan izin?

Bagi menjawab persoalan ini, mari kita ikuti perkongsian Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan di bawah.

Hukum Mengerjakan Ibadah Korban Bagi Pihak Orang Lain Tanpa Keizinannya

korban bagi pihak orang lain
Gambar: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Soalan

Assalamualaikum, saya ingin bertanya, bolehkah seseorang itu mengerjakan ibadah korban bagi pihak orang lain tanpa ada sebarang makluman dan keizinan daripadanya? Apakah hukumnya? Terima kasih Datuk. 

Ringkasan Jawapan

Hukum mengerjakan ibadah korban bagi pihak lain yang masih hidup tanpa keizinan daripadanya adalah tidak sah.

Huraian Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke Hari Akhirat.

BACA JUGA: Panduan Solat Sunat Hari Raya Aidiladha Untuk Anda Tunaikan Di Rumah, Masjid & Surau

Menjelang 10 Zulhijjah setiap tahun, umat Islam dianjurkan agar melaksanakan ibadah korban. Hal ini adalah berdasarkan kepada firman Allah SWT:

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَٱنۡحَرۡ

Maksudnya: “Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai tanda bersyukur).”

Al-Kauthar, 108: 2

Imam Ibn Kathir menyatakan bahawa lafaz ‘Nahr’ dalam ayat di atas memberi maksud sembelihan korban menurut pendapat yang sahih[1]. Anjuran ini adalah sunat muakkad (sangat dituntut) [2] untuk dikerjakan ke atas mereka yang berkemampuan. Adapun bagi yang tidak mampu, maka tidaklah menjadi kewajipan ke atas mereka untuk mengerjakan ibadah tersebut[3].

Justeru itu, timbul persoalan berkenaan hukum seseorang mengerjakan ibadah korban bagi pihak lain tanpa adanya keizinan daripada pihak tersebut. Adakah ia dibenarkan?

Syeikh Zakariyya al-Ansari ada mengulas berkenaan permasalahan ini, yang mana ia terpecah kepada dua pendapat dan pendapat yang paling sahih di antara keduanya ialah tidak dibenarkan[4]. Syeikh Zakariyya menukilkan kalam Imam al-Nawawi, beliau menyatakan[5]:

وَلَا تَضْحِيَةَ عَنْ الْغَيْرِ بِغَيْرِ إذْنِهِ وَلَا عَنْ مَيِّتٍ إنْ لَمْ يُوصِ بِهَا

Maksudnya: “Dan tiada sembelihan untuk bagi orang lain melainkan mendapat izin daripadanya dan tidak juga daripada yang mati melainkan ianya telah diwasiatkan.”

Seterusnya, Syeikh Muhammad al-Zuhaili ada juga menyebut[6]: “Tidak sah ibadah korban bagi pihak orang lain yang masih hidup tanpa keizinannya. Hal ini kerana, korban merupakan suatu bentuk ibadah, dan asal bagi perkara ibadah adalah ia tidak boleh dilakukan oleh orang lain melainkan adanya dalil yang mengharuskan berbuat demikian, terutamanya apabila tiada keizinan.

Akan tetapi, sekiranya salah seorang ahli keluarga telah mengerjakan ibadah korban tersebut, maka sudah dianggap melepaskan tanggungan sunat kifayah keluarga tersebut walaupun tanpa ada keizinan daripada ahli keluarga yang lain. Begitu juga sembelihan korban oleh pemimpin bagi kaum Muslimin dengan menggunakan harta Baitulmal, maka ia dibenarkan.”

BACA JUGA: Viral Lembu Gergasi Dipercayai Untuk Korban, Tinggi Sama Bumbung Rumah Curi Tumpuan Ramai

Sembelihan pemimpin adalah dengan menyembelih badanah (unta atau lembu yang gemuk). Jika tidak mampu menyembelih badanah, maka dengan seekor kambing biri-biri. Walau bagaimanapun dengan sembelihan ini, tidaklah menggugurkan tuntutan korban ke atas orang-orang Islam yang berkemampuan kerana apa yang diperolehi daripada sembelihan pemimpin ini adalah perolehan pahala semata-mata bagi orang-orang Islam[7].

Seterusnya, ulasan berkenaan hukum mengerjakan ibadah korban bagi si mati pula, ada kami perincikan dalam artikel kami yang bertajuk Hukum Melakukan Korban Buat Si Mati[8].

Kesimpulannya, hukum mengerjakan ibadah korban bagi pihak lain yang masih hidup tanpa keizinan daripadanya adalah tidak sah.

Akhir kalam, kami menasihatkan agar mereka yang ingin mengerjakan ibadah korban bagi pihak lain hendaklah memaklumkan dan juga meminta izin daripada mereka terlebih dahulu sebelum melaksanakannya.

Wallahu A‘lam.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 

The post Boleh Ke Buat Ibadah Korban Bagi Pihak Orang Lain Tanpa Izin? Ini Jawapan Mufti Wilayah appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*