Kebakaran Lahaina: Angka Kematian Kini Melepasi 100 Orang 

kebakaran hawaii angka kematian

Kebakaran Lahaina: Angka Kematian Kini Melepasi 100 Orang 

KEPULAUAN HAWAII — Susulan kebakaran dahsyat yang melanda bandar Lahaina, Maui baru-baru ini, angka kematian kini dilaporkan telah melepasi 100 orang, lapor AFP.

Menurut pihak berkuasa tempatan, dianggarkan 106 orang dilaporkan terkorban dalam tragedi itu setakat ini.

Gabenor Negeri, Josh Green, pada minggu lalu telah mengeluarkan amaran berhubung kebakaran itu. Beliau memaklumkan kebakaran itu merupakan malapetaka terburuk dalam tempoh lebih satu dekad.

Difahamkan, usaha mencari dan menyelamat (SAR) juga telah meliputi lebih satu perempat daripada zon bencana dengan bantuan anjing pengesan.

Gambar: YUKI IWAMUR/AFP

Pegawai Daerah Maui sewaktu memberitahu AFP berkata, pihaknya kini telah mengemaskini jumlah kematian sementara Unit Forensik tempatan dilaporkan sedang bergelut untuk menampung lambakan mayat.

Usaha mengumpulkan sampel DNA daripada 41 orang yang dilaporkan hilang oleh ahli keluarga juga sedang diusahakan.

Ketua Polis Maui County berkata, kebanyakan mayat sukar untuk dikenal pasti berikutan sudah berada dalam keadaan rentung.

Sehingga kini, hanya lima mangsa yang maut dikenal pasti identiti.

Datuk Bandar Maui County, Richard Bissen dalam satu kenyataan menzahirkan kesedihan terhadap ahli keluarga yang ditimpa musibah itu.

“Saya mengucapkan takziah kepada ahli keluarga yang telah dimaklumkan tentang kematian insan tercinta,” katanya.

Terpaksa Terjun Ke Dalam Laut

kebakaran hawaii angka kematian
Gambar: PATRICK T. FALLON/AFP

Menurut salah seorang saksi Annelise Cochran, 30, pada awalnya kebakaran kecil itu dilaporkan berlaku di sebuah bukit dan telah dapat dikawal namun sebaliknya keadaan semakin memburuk.

“Api marak dengan sangat cepat. Kami nampak kepulan asap dan langit bertukar dari biru kepada warna coklat gelap.

“Saya sangat terkejut melihat kejadian itu, dan saya dapati ia mula merebak ke arah kami,” katanya sambil menambah tiada perintah pemindahan dikeluarkan ketika itu.

BACA JUGA: Kebakaran Dahsyat: Bandar Meriah Bertukar Jadi Abu, Ini Situasi Terkini Di Lahaina, Hawaii

Jelasnya, dia cuba menyelamatkan diri dengan terjun ke dalam laut selepas laluan jalan raya disekat oleh kenderaan.

“Saya cuba tenggelamkan diri sepenuhnya ke dalam air semampu yang boleh. Saya hanya menarik nafas pada permukaan air kerana udara pada ketika itu sangat ngeri sebelum diselamatkan beberapa jam kemudian,” katanya.

Kecewa Dengan Sistem Keselamatan Sedia Ada

Gambar: YUKI IWAMUR/AFP

Dalam masa yang sama penduduk pulau itu meluahkan rasa kecewa terhadap kesiapsiagaan pihak berkuasa dalam bertindak menghadapi bencana.

Hal ini ekoran sesetengah pili bomba tidak mempunyai air dan sistem amaran gagal diaktifkan sewaktu kejadian.

Sebuah syarikat elektrik, Hawaiian Electric juga telah difailkan tuntutan ekoran didakwa tidak menutup bekalan elektrik bagi mengurangkan risiko kebakaran.

Mereka juga dilarang untuk kembali semula ke rumah di Lahaina kerana bimbang bahaya bangunan yang tidak stabil dan potensi bahan kimia toksik menerusi bawaan udara di kawasan itu, maklum polis tempatan.

Selain itu, satu tangkapan juga telah dilakukan selepas terdapat individu yang menceroboh masuk ke lokasi berkenaan.

Risiko Tanah Diambil Pihak Luar

Tambah Green, beliau juga menegaskan kepada pihak luar bahawa tindakan mungkin diambil sekiranya terdapat cubaan untuk mengambil alih sisa-sisa tanah yang musnah di lokasi berkenaan.

Ia berikutan penduduk tempatan gusar terdapat segelintir pemaju cuba mengambil kesempatan untuk membeli tanah tersebut bagi membina perumahan.

“Matlamat utama kami adalah untuk berkhidmat sepenuhnya kepada masyarakat sementara ia dibaik pulih.

“Jadi, kami akan memastikan tanah itu tidak jatuh ke tangan orang luar,” katanya.

Sumber: AFP

The post Kebakaran Lahaina: Angka Kematian Kini Melepasi 100 Orang  appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*