Keluarga harap SAR cari kru kapal MV Dai Cat 06 hilang diteruskan

KOTA KINABALU – Ahli keluarga kepada kru kapal MV Dai Cat 06 berharap agar syarikat serta pihak terlibat tampil memberi penjelasan berhubung insiden berkenaan.

Menurut kakak kepada salah seorang kru kapal, Sandra Littor, 32, syarikat itu sehingga ke saat ini masih belum membuat apa-apa penjelasan termasuklah menjelaskan mengenai keadaan sebenar adik lelakinya, Derrent Littor yang 22 tahun.

Jelasnya, enam laporan polis telah dibuat iaitu satu daripada ejen kapal kargo di Lumut dan lima laporan lagi daripada keluarga kru kapal namun tiada perkembangan lanjut daripada pihak terlibat.

“Kami masih lagi tertanya-tanya kenapa? dan maklumat mengenai kejadian itu hanya diperoleh daripada Maritim Malaysia sahaja,” katanya ketika di kediamannya di Kampung Melawa di sini hari ini.

Menurutnya, pihak keluarga hanya mengetahui berkaitan kejadian kehilangan kapal kargo itu dari rakan sebelum berusaha sendiri untuk mendapatkan maklumat daripada pihak Maritim Malaysia (APMM).

Malahan Sandra berkata, beliau dimaklumkan bahawa operasi mencari dan menyelamat (SAR) kapal kargo MV Dai Cat 06 kini dihentikan oleh pasukan keselamatan Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas) Indonesia.

“Saya sedih dan kecewa apabila mendapat makluman Operasi SAR ditamatkan dan hanya rondaan rutin dijalankan di perairan Indonesia dan Malaysia. Ini bermaksud tiada lagi SAR, sekiranya terdapat apa-apa petanda mereka akan aktif SAR semula.

“Oleh itu, kami mengharapkan supaya SAR diteruskan. Saya dan keluarga sentiasa positif bahawa adik dan empat kru lain sekarang ini sangat-sangat memerlukan bantuan,” katanya-KOSMO! ONLINE

 

The post Keluarga harap SAR cari kru kapal MV Dai Cat 06 hilang diteruskan appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*