Kerajaan Perpaduan Komited Jalin Lebih Banyak PPP Perangi Jenayah Siber – Fahmi 

Jenayah Siber fahmi

Kerajaan Perpaduan Komited Jalin Lebih Banyak PPP Perangi Jenayah Siber – Fahmi 

KUALA LUMPUR, 16 Ogos (Bernama) — Kerajaan Perpaduan komited untuk menjalin lebih banyak perkongsian merentasi sektor awam serta swasta dalam usaha memerangi jenayah siber, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Beliau berkata Perkongsian Awam-Swasta atau PPP adalah antara kaedah paling berkesan untuk memerangi jenayah siber kerana ia terbentuk daripada platform sinergi dan neutral di mana pemain industri keselamatan siber serta kerajaan boleh bekerjasama rapat sekali gus memperkasa tindak balas yang lebih pantas terhadap serangan siber.

“Perkongsian antara kerajaan industri perlu terus berkembang, membina kepercayaan, bersikap terbuka kepada cabaran dan berkongsi data dengan seefektif yang mungkin.

“Kami secara aktif berganding bahu dengan rakan kongsi daripada industri hinggalah kepada ahli akademik untuk memberi amaran serta bertindak balas terhadap insiden dan menawarkan bimbingan serta latihan kepada komuniti kita untuk kekal selamat dalam talian,” katanya.

Fahmi berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Gala Anugerah Keselamatan Siber Malaysia 2023 sempena Ekspo dan Persidangan Pertahanan dan Keselamatan Siber Asia (DSA) 2023 di sini hari ini.

BACA JUGA: Sindiket “Scammer” Terbesar Dunia Ditumpaskan Penyiasat Australia

Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching serta Pengerusi Lembaga Pengarah CSM Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.

Fahmi juga berkata keselamatan siber akan terus menjadi asas dan prasyarat kritikal untuk kehebatan ekonomi digital Malaysia.

“Kita mesti menyepadukan keselamatan siber ke dalam fabrik kesemua inovasi ini, memastikan bahawa langkah keselamatan bukanlah sesuatu yang difikirkan kemudian sebaliknya komponen intrinsik reka bentuk dan pelaksanaan.

“Sebagai contoh, setakat Julai tahun ini, CSM (CyberSecurity Malaysia) telah menerima sejumlah 3,327 laporan berkaitan insiden siber dengan kes penipuan mencecah 62 peratus,” katanya.

Bercakap mengenai pembangunan pelancaran rangkaian 5G di Malaysia, Fahmi berkata inisiatif itu telah mencapai 66.8 peratus liputan kawasan berpenduduk (CoPA) setakat Julai 2023.

Katanya keadaan semasa menunjukkan bahawa kementerian itu berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran 80 peratus rangkaian 5G di CoPA menjelang akhir tahun.

Sumber: BERNAMA 

The post Kerajaan Perpaduan Komited Jalin Lebih Banyak PPP Perangi Jenayah Siber – Fahmi  appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*