TikTok Shop Di Indonesia Dihentikan Mulai Hari Ini

Tiktok shop indonesia

TikTok Shop Di Indonesia Dihentikan Mulai Hari Ini

JAKARTA — Aplikasi video pendek, TikTok bakal menghentikan platform perniagaannya, TikTok Shop di Indonesia bermula hari ini, lapor TribunNews.

ByteDance China yang merupakan pemilik syarikat TikTok dalam satu kenyataan berkata, langkah itu diambil bagi menyelaraskan rancangan masa depannya dengan kerajaan negara itu.

Perkara itu berikutan larangan baharu perdagangan yang dikuatkuasakan terhadap media sosial berkenaan.

“Keutamaan kami adalah untuk terus mematuhi undang-undang dan peraturan tempatan. Oleh itu, kami tidak menjalankan transaksi e-dagang di TikTok Shop Indonesia,” kata syarikat itu.

Susulan dasar baharu itu, tidak jelas sama ada TikTok akan mencipta aplikasi e-dagang baharu secara berasingan daripada media sosial berkenaan.

BACA JUGA: Netizen ‘Banjir’ Air Mata, Nampak Satu Keluarga Jalan Kaki Hantar Anak Masuk Universiti

Sementara itu, Kerajaan Indonesia memaklumkan inisiatif itu diambil bagi melindungi hak peniaga dan pasaran luar talian sejak minggu lalu.

Tambah pimpinan negara itu, harga yang ditawarkan di platform media sosial mengancam peniaga-peniaga kecil dan sederhana.

Setiausaha Agung Akumindo Edy Misero berkata dasar kerajaan sebagai pengawal selia perlu disokong oleh rakyatnya.

“Matlamat kerajaan untuk menghentikan TikTok Shop adalah untuk membantu produk tempatan terhadap pasaran negara,” katanya.

Tambah Edy, sekiranya TikTok Shop dihentikan, maka Indonesia tidak lagi dibanjiri barangan import dengan harga di bawah peruntukan peraturan Menteri Perdagangan.

“Akibat produk luar negara dijual dengan harga yang sangat murah. Mereka (perniagaan tempatan) tidak mampu bersaing.

“Dengan dasar baharu kerajaan, ia akan membuka peluang kepada peniaga PKS untuk menjual produk mereka di pasaran baharu,” jelasnya.

Sehubungan itu, Edy berharap peniaga Industri Kecil dan Sederhana (IKS) segera memperkenalkan produk tempatan dengan kualiti terbaik, dan harga mesra pengguna.

Beliau turut memohon kepada peniaga IKS yang pernah menggunakan platform TikTok Shop sebelum ini beralih ke pasaran e-dagang lain.

“Terdapat banyak pasaran e-dagang lain, jadi peniaga tidak perlu cemas dan hanya perlu beralih ke pasaran lain,” katanya lagi.

Sumber: TribunNews

The post TikTok Shop Di Indonesia Dihentikan Mulai Hari Ini appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*