Sembilan Tahun Menanti Zuriat, Namun Anak ‘Pergi’ Dahulu

sembilan tahun zuriat

Sembilan Tahun Menanti Zuriat, Namun Anak ‘Pergi’ Dahulu

Ibu kepada kanak-kanak setahun tujuh bulan yang lemas bersama datuknya di sebuah kolam terbiar tidak dapat mengungkapkan perasaan dengan kata-kata selepas kematian mengejut anaknya pada Isnin lalu, lapor Sinar Harian.

Ketika ditemui pemberita, Zarina Azmi yang berada dalam keadaan sebak berkata dia telah menantikan kelahiran anaknya, Muhammad Ziyaad Mikhail itu selama sembilan tahun dan tidak menyangka bahawa anaknya akan ‘pergi’ dahulu.

“Sembilan tahun saya tunggu kelahirannya, namun dia ‘pergi’ dahulu,” katanya.

Bagaimanapun, wanita berusia 34 tahun itu dan suaminya, Muhammad Yuzarith Martin Abdullah mengatakan mereka dengan ikhlas hati telah meredhai ketentuan yang ditetapkan Allah meskipun tidak sampai setahun bersama anak tunggal kesayangannya.

Tidak hanya Muhammad Ziyaad, Zarina turut kehilangan bapa tersayang, Azmi Abdullah, 77, selepas ditemui terapung bersama anaknya dalam kolam.

Difahamkan juga, kedua-dua mangsa menaiki motosikal untuk keluar bersama selepas beredar dari kedai makan di tempat Zarina bekerja.

“Sepanjang hari (Isnin), Muhammad Ziyaad asyik peluk saja, seolah-olah tak puas bermanja sebelum datuknya datang ambil kira-kira jam 5 petang.

“Namun, tak lama kemudian saya dikejutkan dengan berita yang ayah dan anak ditemukan lemas di kolam berhampiran,” jelasnya sedih ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim di sini pada Selasa.

Ketika kejadian, Zarina menyedari kedua-dua beranak itu tidak pulang ke rumah sehingga jam 7 petang dan perkara itu membuatkan dia keluar untuk mencari di sekitar kawasan tersebut.

BACA: Warga Emas Maut Nahas Lapan Kenderaan Dalam Perjalanan Hantar Cucu Ke IPT

Pun begitu, setelah puas mencari, hati Zarina hancur apabila mendapat tahu datuk dan cucu itu ditemukan dalam keadaan terapung di kolam.

Dalam pada itu, berita pemergian kedua-dua beranak itu turut mengejutkan adik kepada Azmi, Yusof Abdullah, 61, apabila menerima panggilan mengenai kejadian tersebut.

Ujarnya, dia dan arwah abangnya kali terakhir bertemu pada bulan lalu dan berita itu sangat tidak disangka olehnya.

“Arwah dah lama pencen sebagai tukang kebun sekolah dan sejak itu dia banyak menghabiskan masa di rumah selain bermain dengan cucu dan menjadi rutin membawa cucunya itu meronda waktu petang dengan menaiki motosikal,” katanya.

Yusof turut mendakwa kejadian kemungkinan terjadi ketika kanak-kanak tersebut berlari ke arah kolam selepas turun dari motosikal sebelum terjatuh.

Dakwanya, Azmi yang melihat situasi itu kemungkinan sedaya upaya cuba menyelamatkan cucunya, di mana dia terus berlari ke arah kolam, namun turut lemas.

“Kalau tengok keadaan kolam itu, airnya tak dalam mana pun tapi mungkin disebabkan licin akibat lumut, arwah tak berdaya nak selamatkan diri.

“Apapun yang berlaku, semuanya sudah suratan takdir dan kami reda dengan apa yang berlaku,” ujarnya.

Selepas urusan bedah siasat selesai dijalankan untuk proses pengebumian, jenazah datuk dan cucu itu telah dibawa pulang ke rumah mereka di Kampung Permatang Berangan, Pinang Tunggal.

Terdahulu, media melaporkan seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun dan datuknya berusia 78 tahun dilaporkan maut selepas ditemui lemas di kolam berhampiran sebuah restoran di Taman Kempas, pada Isnin lepas.

Sumber: Sinar Harian

The post Sembilan Tahun Menanti Zuriat, Namun Anak ‘Pergi’ Dahulu appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*